Perkara 3 (1)
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi
Persekutuan. Pengiktirafan kedudukan agama Islam dalam undang-undang yang
paling tertinggi di negara kita menunjukkan betapa agama rasmi Persekutuan ini
perlu dipelihara, dijaga, dimartabatkan, dihormati dan terus dipertahankan
walaupun anutan agama lain terus dibenarkan tanpa sebarang halangan.
Maka sebagai warga
yang bertanggungjawab sama ada kita beragama Islam mahupun sebaliknya, adalah
menjadi kewajipan untuk kita bersama-sama berganding bahu memelihara kesucian
agama Islam. Tidak boleh ada kompromi dalam hal sensitif seperti ini kerana ia
melibatkan kerukunan hidup masyarakat majmuk negara kita selama ini. Perkara
ini juga telah menjadi antara asas utama pembentukan kontrak sosial yang
menjadi panduan hidup masyarakat majmuk negara kita sekian lama.
Namun beberapa
insiden yang berlaku mutakhir ini seolah-olah menggambarkan adanya usaha licik
pihak tidak bertanggungjawab untuk meragut kesucian agama rasmi Persekutuan
ini. Walaupun kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup jelas,
malah Malaysia juga terus diiktiraf sebagai negara Islam oleh masyarakat
antarabangsa, apa yang berlaku mutakhir ini menimbulkan persoalan yang cukup
merisaukan iaitu apalah nasib Islam di negara Islam ini.
Hal ini penting untuk
dihayati oleh setiap warga negara ini secara serius kerana ada dalam kalangan
kita sendiri yang cuba meragut kesucian agama Islam di bumi Islam ini.
Insiden demi insiden
yang didedahkan, terutamanya kerakusan segelintir rakyat kita menggunakan laman
sosial seperti facebook untuk mencemar agama Islam mahupun mengaibkan umat
Islam walaupun pada bulan mulia seperti bulan Ramadan yang lalu, bukan sahaja
mengejutkan tetapi juga cukup mengecewakan.
Mengajak umat Islam
berbuka puasa dengan hidangan khinzir, beraya dengan anjing dan terkini surau
digunakan untuk upacara keagamaan oleh penganut agama lain adalah antara
perbuatan dan tindakan yang cukup keterlaluan dan boleh dikatakan mencabar
kedudukan agama Islam seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah sebelum ini isu
azan juga turut dijadikan polemik oleh segelintir rakyat kita. Apakah ini yang
dikatakan sebagai hak asasi dan hak kebebasan bersuara walaupun dengan jelas
melanggar peraturan, mencabar undang-undang serta merosakkan keharmonian dan
perhubungan kaum di negara kita?
Sekali lagi, apalah
nasib Islam di negara Islam bernama Malaysia ini andai perbuatan seumpama ini
terus berlarutan? Apakah selamat dan terpelihara kedudukan Islam jika insiden
seperti ini dijadikan sebagai ukuran?
Saya rasa cukup sedih
mengenangkan nasib Islam di negara ini dan rasa cukup kecewa dan terkilan
dengan tindak tanduk warga kita sendiri yang cuba merosak dan menghancurkan
jambatan perpaduan kaum yang telah kita bina atas platform kontrak sosial dan
Perlembagaan Persekutuan.
Generasi muda
terutamanya perlu segera bangkit dari lamunan. Jangan terus leka dan lalai
dengan pelbagai gajet serta ketagihan terhadap laman sosial, sebaliknya perlu
mengambil tahu dan mengambil berat dengan apa yang sedang berlaku di sekitar
kita.
Generasi muda perlu
menjadi benteng dalam mempertahankan jambatan perpaduan di negara kita. Sama
ada Melayu, Cina mahupun India perlu memahami semangat dan roh kontrak sosial
serta Perlembagaan Negara.
Kesucian Islam perlu
dipertahankan tanpa sebarang kompromi oleh semua kaum terutamanya penganut
agama lain. Marilah bersama-sama kita pertahankan kedudukan dan maruah agama
rasmi Persekutuan ini. Jangan sama sekali kita membiarkan sebarang usaha untuk
mencemarkan nama dan kedudukan Islam terutamanya oleh warga kita sendiri.
Umat Islam negara ini
juga perlu segera lupakan segala sengketa dan pertelagahan seterusnya bersatu
atas nama Islam. Kerapuhan perpaduan sesama umat Islam telah menjadi senjata
utama pihak yang cuba menangguk di air yang keruh untuk mencemarkan Islam
selama ini.
Jangan kita menyesal
kemudian hari andai satu hari nanti anak cucu kita hanya akan mengetahui bahawa
Islam pernah menjadi agama rasmi negara ini melalui buku sejarah semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan