31 Ogos 2013

Nyaris Maut Di Patuk Ular, Ketika Main Sepak Takraw




Keterujaan seorang remaja bermain sepak takraw hampir mengundang padah apabila dia tidak menyedari kewujudan seekor ular tedung yang berada di dalam kasutnya, petang kelmarin. Mujurlah remaja berkenaan bertindak segera membuka kasutnya setelah merasakan dia terpijak sesuatu benda yang lembik dan sejuk, jika tidak dia pasti dipatuk oleh haiwan berbisa itu.

Dalam kejadian jam 6 petang di Kampung Parit Mat Ali di sini, Marzuki Ahmad Pauzi, 18, berkata, dia menyarung kasut yang diletakkan di luar rumah untuk bermain sepak takraw di gelanggang berhampiran. Menurutnya, kaki terasa sejuk dan lembik sewaktu menyarung kasut, namun dia tidak mengendahkan kerana menyangka plastik.


"Bagaimanapun, beberapa minit selepas itu, saya merasakan benda ‘sejuk dan lembik’ itu bergerak-gerak dan saya segera mencabut kasut.

“Alangkah terkejutnya apabila mendapati ‘benda’ yang berada di dalam kasut sepuluh minit lalu merupakan ular tedung senduk dan saya segera melepaskan kasut ini,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini semalam.

Marzuki berkata, dia mengenali spesies ular itu melalui bentuk seakan-akan huruf ‘O’ yang terdapat di kepala ular itu sewaktu ia sedang mengembangkan kepala.

Menurutnya, haiwan berbisa itu turut menunjukkan isyarat seolah-olah hendak menyerang, bagaimanapun salah seorang abangnya yang kebetulan berada di tempat kejadian bertindak memukul ular tedung senduk itu dengan sebatang kayu.

“Saya amat bersyukur haiwan itu tidak mematuk kaki saya sewaktu menyarung kasut, jika tidak sudah pasti perkara buruk terjadi pada saya,” katanya.

Katanya, ular tedung senduk itu berukuran setengah meter panjang dan dipercayai datang dari arah sawah padi berdekatan.

“Saya menjadi serik hendak meletakkan kasut di luar rumah berikutan bimbang ‘pisang berbuah dua kali’,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /