28 Ogos 2013

Dunia Islam Perlu Model Kepemimpinan Baru




Oleh : Dr Muhamad Razak Idris

Konflik politik yang terjadi di beberapa negara Islam sejak kebelakangan ini menyerlahkan secara langsung realiti kelemahan sistem kepemimpinan dunia Islam semasa. Aspek kepemimpinan ini memang telah disedari dari awal oleh sarjana dan pemikir Muslim sebagai satu bidang yang mesti diberi keutamaan yang tinggi untuk ditangani.

Misalnya, penelitian terhadap pemikiran Jamaluddin al-Afghani, sarjana Muslim pada sekitar abad ke-19, berhubung gagasan ‘pan Islamisme’, menemukan kita mengenai kepentingan idea kesatuan dunia Islam berada di bawah satu payung kepemimpinan dipertahankan dan diperkasakan. Cabaran dunia Islam pada waktu itu berhadapan dengan pencerobohan penjajah di tanah air mereka, pada pandangan Jamaluddin, menuntut sistem kepemimpinan berasaskan khalifah diperkukuhkan.


Pan Islamisme menyeru seluruh dunia Islam bersatu di bawah satu sistem kepemimpinan bagi mendepani cabaran kepenjajahan berat dan mencengkam serta bergabung menjayakan cita-cita kemerdekaan dunia Islam.


Pelbagai halangan ideologi
Kejatuhan khalifah Uthmaniyah selepas itu menjadikan idea kesatuan kepemimpinan dunia Islam terbantut. Ia dilihat bertambah rumit selepas dunia Islam yang terbangun dalam kerangka dan sistem negara-bangsa selepas era penjajahan. Penubuhan Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) kemudiannya telah memberikan sebuah harapan dan keyakinan baru terhadap cita-cita mewujudkan sebuah kesatuan kepemimpinan dunia Islam.

Namun, dengan pelbagai halangan ideologi dan kepentingan, harapan tinggi terhadap pertubuhan ini nampaknya masih tinggal harapan. Dalam banyak keadaan yang menuntut kepemimpinan yang tegas dan ke hadapan terutama bagi menangani krisis ekonomi dan politik di negara Islam tertentu, peranan dan keberkesanan OIC sering mengecewakan dan dilihat tidak bermaya dan terkebelakang.

Kewibawaan organisasi Islam ini sebagai wadah kesatuan kepemimpinan dunia Islam kini berdepan krisis keyakinan. Keupayaannya berada dalam persoalan sekiranya diteliti sikap dan tindakannya dalam memberikan jalan keluar dan penyelesaian terhadap pelbagai konflik, misalnya krisis yang berlaku di Syria dan Mesir akhir-akhir ini. Konflik yang meragut ribuan nyawa itu seperti terbiar sedang ia membabitkan kepentingan dunia Islam yang menyeluruh.

Ketidakupayaan kepemimpinan dunia Islam amat terserlah dan ia seperti dalam keadaan kekosongan. Kekosongan kepemimpinan ini suatu musibah yang sungguh memeritkan kerana umat Islam seperti ketiadaan benteng bagi menangkis keadaan korban nyawa dan harta benda yang semakin melarat serta kehilangan petunjuk dan mengundang keliru berterusan bagi mendepani krisis kemanusiaan yang dialami di sekeliling peradaban mereka.

Hakikat yang harus diakui terlebih dulu ialah kenyataan iaitu kemelut dan kelemahan sistem kepemimpinan dunia Islam ini adalah antara kesan yang diwarisi akibat kelemahan dan kemunduran peradabannya sejak beberapa abad yang lalu. Penyelesaian permasalahan ini tentu tidak mungkin dapat diatasi dalam tempoh singkat.


Cari jalan penyelesaian
Tekad dan keazaman ikhlas bagi mencari penyelesaian kemelut ini tentu menemukan kita penyelesaian di penghujungnya nanti. Untuk itu, pengkaji dan sarjana Muslim semasa harus mula menjadikan cabaran kelemahan kepemimpinan dunia Islam ini sebagai satu bidang penelitian dan penyelidikan serius pada masa kini. Idea dan saranan bagi membentuk sebuah model kesatuan kepemimpinan dunia Islam yang berkesan dan praktikal dalam konteks geopolitik dunia semasa harus digiatkan dalam pelbagai ruang wacana.

Memandangkan aspek ini menuntut cabaran ilmiah dan kehendak politik yang tinggi, pada peringkat ini, ia harus dipelopori oleh sarjana yang matang dan ahli politik yang berwawasan. Kerumitan penyelesaiannya tidak mungkin dapat dikemukakan sekiranya ia ditangani secara tidak berhemah dan bersifat emosional.

Cita-cita bagi membangunkan model baru kesatuan kepemimpinan dunia Islam yang kuat dan berkesan juga harus diyakini bukan suatu yang mustahil. Lihat saja pengalaman negara Eropah dalam membina kesatuan kepemimpinan mereka. Sejarah pertembungan antara masyarakat Eropah pada abad-abad terdahulu sekiranya ditinjau dalam keadaan yang parah juga.

Namun, peredaran kematangan masyarakat dan kepemimpinan politik mereka memungkinkan kelahiran sebuah Kesatuan Eropah (EU) yang kuat dan berkesan pada hari. EU pada kini sedang membentuk sebagai sebuah kuasa besar, pengimbang berpengaruh dalam konteks geopolitik dunia semasa.

Dalam konteks dunia Islam, model EU boleh menjadi teladan dan tentunya dengan pengubahsuaian sejajar dengan realiti sekeliling yang dihadapi. Permulaan bagi usaha ini ialah keperluan pembentukan kumpulan negara Islam yang stabil dan kuat sebagai penaja dan penggeraknya. Untuk itu, Kumpulan D-8 iaitu perkumpulan beberapa negara Islam terpilih termasuk Malaysia wajar diaktifkan semula dan diupayakan peranan sebagai penaja bagi pembinaan model baru kesatuan kepemimpinan dunia Islam.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /