29 Ogos 2013

Pupuk Semula Toleransi Kaum, Agama




Oleh : Mohd Ayop Abd Razid

Toleransi beragama adalah aspek penting dalam menjaga kerukunan dan keharmonian masyarakat Malaysia. Aspek ini perlu disemai dan dipupuk sejak kecil dan peranan ini mesti dilakukan oleh keluarga dan diperkukuh di peringkat pendidikan formal.

Semua kaum di negara ini dengan pelbagai anutan agama mesti mengelak diri daripada menyentuh sensitiviti penganut agama lain serta menjauhi sikap ekstremis. Sikap fanatik terhadap kaum dan agama secara membabi-buta sehingga tidak mempedulikan kepentingan orang lain juga mesti dijauhi.



Jauhi semangat taksub
Semua kaum di negara ini mesti mengamalkan kembali budaya toleransi, berbincang dan berunding secara terbuka supaya kedamaian dan keamanan negara dapat terus dinikmati. Melalui perbincangan secara terbuka akan lahir semangat saling menghormati serta bersedia menerima perbezaan pandangan dan pendapat yang menjadi asas kepada amalan beragama di negara ini.

Kepelbagaian kaum dan agama di negara ini sewajarnya dapat memperkukuh aspek kenegaraan terutama dalam membina perpaduan nasional dan solidariti sosial. Justeru, semangat taasub yang keterlaluan dalam memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum serta memperlekeh dan menghina penganut agama lain sewajarnya dihindari bagi mengelak konflik kaum dan agama yang boleh meruntuhkan kesepaduan sosial masyarakat Malaysia.

Kita sewajarnya mengambil iktibar daripada pelbagai konflik agama yang menyebabkan pertumpahan darah seperti di Myanmar dan Sri Lanka yang membabitkan penganut agama Buddha dan Islam. Beratus tahun dahulu berlaku Perang Salib di antara Kristian dan Islam yang menyebabkan banyak nyawa terkorban. Semuanya itu berlaku disebabkan kepercayaan dan permusuhan beragama yang melampau.

Rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur kerana selama ini kepelbagaian agama menjadi kekuatan kepada perhubungan kaum di negara ini. Selama ini semua pihak dapat bertoleransi dan berganding bahu tanpa menyentuh sensitiviti agama dan perkauman. Jika pun ada, ia dapat dikawal dengan baik dan setiap kaum akan segera kembali ke landasan yang betul mengikut landasan perlembagaan dan penghayatan terhadap Rukun Negara.

Mereka sedar bahawa konflik kaum dan agama yang sengaja dicetuskan dan diperbesarkan akan memporak-perandakan dan menghancurkan negara. Namun, mutakhir ini pelbagai isu seperti penggunaan kalimah Allah dalam Bible, penghinaan terhadap ibadah puasa dan sambutan Aidilfitri, dibimbangi akan mengheret kepada konflik kaum dan agama. Mereka yang terbabit dengan perbuatan seperti itu wajar dikenakan tindakan tegas serta dibawa ke muka pengadilan bagi menerima balasan setimpal agar menjadi pengajaran kepada yang lain.

Penulis yakin umat Islam di negara ini masih bersikap rasional dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Namun bimbang lukanya tetap berdarah sekiranya masih wujud provokasi berterusan terhadap amalan umat Islam di negara ini. Kita mengharapkan penganut agama lain menjauhi penghinaan sedemikian terutama melalui media sosial kerana kesannya cukup mendalam.

Pemimpin setiap agama harus mendidik penganut masing-masing agar menghormati amalan umat Islam di negara ini yang majoriti berbangsa Melayu. Kita menyanjung tinggi tokoh tertentu yang tahu menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini. Contohnya, Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun yang menggesa agar tuntutan untuk menggunakan nama Allah dalam Bible digugurkan demi memelihara keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.


Semai nilai positif
Nilai positif dalam beragama mesti terus disemai dalam masyarakat supaya dapat menghasilkan interaksi budaya dan agama yang sihat di negara ini. Ambillah pengajaran daripada sejarah di mana ketika zaman pemerintahan Bani Umaiyyah hingga zaman pemerintahan Uthmaniyyah, golongan minoriti Yahudi dan Kristian boleh hidup harmoni dan aman damai bersama umat Islam. Mereka menghormati amalan agama umat Islam dan umat Islam pula menghormati pegangan agama mereka.

Kesimpulan, semua kaum di negara ini mesti mengamalkan kembali budaya toleransi, berbincang dan berunding secara terbuka supaya kedamaian dan keamanan negara dapat terus dinikmati. Melalui perbincangan secara terbuka akan lahir semangat saling menghormati serta bersedia menerima perbezaan pandangan dan pendapat yang menjadi asas kepada amalan beragama di negara ini.

Bagi umat Islam di Malaysia, provokasi dan penghinaan terhadap amalan agama mereka melalui media sosial yang semakin meningkat seharusnya dapat memperkukuh kembali perpaduan mereka. Hanya perpaduan membolehkan umat Islam mempertahankan maruah agama dan bangsa daripada terus diperkotak-katikkan oleh mereka yang berniat jahat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /