Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku
Razaleigh Hamzah berkata sudah sampai masanya beliau berundur sebagai ketua
bahagian setelah hampir 50 tahun berkhidmat kepada masyarakat di situ.
"Sudah sampai masanya untuk saya
berundur dan carilah pemimpin baharu yang lebih jujur dan adil dalam memberi
khidmat kepada rakyat," katanya.
Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata
keputusannya untuk tidak lagi bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan
datang juga adalah untuk memberi laluan kepada pemimpin muda yang lebih layak.
Tengku Razaleigh berkata PRU13 lalu adalah
yang terakhir baginya tetapi beliau masih meneruskan khidmat kepada penduduk di
kawasan itu sehingga ada pemimpin baharu yang dapat menggantikannya.
"Saya diminta untuk terus menerajui Umno
bahagian ini dan terserahlah kepada ahli Umno bahagian itu (selepas ini) untuk
menentukan siapa pemimpin yang paling layak memikul tanggungjawab berkenaan
kerana ramai yang layak dipilih," katanya kepada pemberita selepas majlis
Kesyukuran Kemenangan Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang bersama Orang
Asli di Kampung Lambok, di sini Jumaat.
Tengku Razaleigh juga enggan mengulas apabila
ditanya sama ada beliau akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan Umno
Oktober ini.
"Saya tidak hendak komen dan kita sama-sama
tengoklah pada 28 Sept ini untuk bertanding atau tidak," katanya.
Beliau berkata mengikut peraturan baharu
parti, sesiapa sahaja boleh bertanding merebut sebarang jawatan dalam parti dan
perkara itu boleh diputuskan pada hari penamaan calon 28 Sept (untuk Majlis
Tertinggi).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan