Berbeza dari 56 tahun dahulu,
pelbagai perubahan demi perubahan negara dilihat kian rancak berlaku dan terus
bergerak pantas seiring dengan kemodenan global. Walaupun boleh dikatakan masih
muda, Malaysia mampu berdiri sendiri tanpa campur tangan asing selepas bebas
daripada cengkaman pelbagai unsur imperialisme.
Kejayaan yang amat membanggakan
itu bertepatan untuk membuktikan definisi kemerdekaan bagi golongan nasionalis
yang telah berjaya dikecapi negara sejak 31 Ogos 1957. Namun, adakah erti
kemerdekaan tersebut memadai untuk menzahirkan nilai kemerdekaan sebenar yang
menyeluruh bagi setiap masyarakat di negara ini? Atau hanya merdeka pada zahir
sahaja?
Menyebut kemerdekaan, sudah
menjadi fitrah bagi setiap individu yang menginginkan kebebasan daripada
sebarang cengkaman atau kongkongan unsur luar. Malangnya, disebabkan
keghairahan mengejar kemerdekaan tersebut, ramai yang tidak menyedari
hakikatnya mereka secara tidak langsung telah meletakkan diri dalam kongkongan
hawa nafsu sehingga sanggup melakukan apa sahaja.
Buktinya, jika dahulu manusia
sanggup bermandikan darah, berkorban mempertahankan agama dan tanah air untuk
mengecapi kemerdekaan negara daripada penjajah, kini pertumpahan darah berlaku
akibat perbuatan jenayah.
Begitu juga, penularan kes
penyebaran ajaran sesat, penyelewengan politik dan ekonomi, gejala sosial,
krisis dalam rumah tangga dan juga demonstrasi jalanan haram yang dilakukan
oleh golongan yang terlalu mengejar kemerdekaan.
Inilah krisis kemerdekaan
songsang yang dilihat semakin kritikal dan membimbangkan yang melanda negara
ini terutama dalam kalangan golongan remaja sehingga sukar untuk dikawal oleh
pihak berkuasa. Kesannya, individu itu sendiri yang akan binasa akibat terus
terkongkong dalam cengkaman hawa nafsu dan penjajahan budaya luar yang ternyata
bertentangan dengan akidah dan ajaran agama itu.
Lebih membimbangkan, ini bukan
sahaja memudaratkan diri sendiri, tetapi boleh mengganggu gugat keharmonian
yang dikecapi dalam masyarakat dan juga negara apabila terlalu mengejar
kebebasan diri sehingga tidak boleh dikawal.
Ini sebagaimana firman Allah SWT
bermaksud: Bahawasanya mereka, usaha mereka telah tersesat di dunia ini sedang mereka
menyangka mereka telah membuat kebaikan. (al Kahfi: 54)
Timbalan Dekan Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM), Profesor Datin Dr. Azizan Baharuddin berkata, seperti
gunting dalam lipatan, inilah menjadi punca kehancuran tamadun negara yang
telah dibina dan diperjuangkan oleh tokoh tanah air untuk mengecapi kemerdekaan
negara sehingga ke hari ini.
Realitinya kini katanya, dunia
telah pun menuju ke arah kemerosotan tamadun apabila statistik mendapati
manusia lebih memperuntukkan belanja besar untuk kegunaan yang mengundang
kebinasaan berbanding sesuatu yang lebih penting.
"Kajian yang dijalankan oleh
Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan 780 bilion dolar
diperuntukan untuk senjata dunia dan 400 bilion dolar untuk dadah dan narkotik
di dunia berbanding hanya 6 bilion dolar untuk pendidikan asas dan 13 bilion.
"Statistik ini menunjukkan
bahawa betapa masyarakat dunia memperuntukkan lebih banyak sehingga ratusan
bilion ringgit kepada suatu yang berisiko berbanding hanya sedikit untuk
perkara yang membawa kebaikan.
"Inilah kesan apabila
lemahnya nilai tamadun dalam diri manusia yang kini dilihat semakin
membimbangkan selepas pelbagai gejala negatif menguasai diri," katanya
ketika ditemui baru-baru ini.
Dr. Azizan yang juga pakar dialog
peradaban berkata, Malaysia turut tidak terkecuali daripada mengalami krisis
tersebut, sebaliknya dilihat semakin berleluasa mengikut kemajuan semasa. Ini
katanya, menunjukkan bahawa jiwa segelintir masyarakat yang sebenarnya belum
merdeka kerana terus terpenjara daripada kongkongan hawa nafsu dan perbuatan
bertentangan dengan panduan nilai sebenar iaitu ajaran agama.
"Jiwa masyarakat dilihat
terus dibelenggu oleh cengkaman keruntuhan moral dan nilai ketamadunan yang
rendah. Setiap hari pasti ada sahaja kes jenayah dilaporkan berlaku di akhbar
dan sebagainya.
"Kesannya, akan membuatkan
masyarakat semakin saling berpecah, berleluasanya penindasan dan kezaliman. Hal
kemanusiaan diketepikan dan berlaku malapetaka serta bencana di seluruh negara.
"Perkara ini jika dibiar
berterusan akan menjejaskan kestabilan negara dan tidak mustahil keamanan yang
kita kecapi hari ini akan berakhir dan menjadi sejarah," kata Azizan.
Justeru, Azizan berkata, sebagai
masyarakat yang hidup dalam negara berbilang kaum, masyarakat terutamanya umat
Islam harus bersatu padu dalam mencapai keharmonian masyarakat dan memajukan
tamadun negara.
"Keunikan Malaysia sebagai
sebuah negara yang mempunyai berbilang bangsa dan agama harus dimanfaatkan
dengan mempelajari dan memahami kepelbagaian budaya ini.
"Dengan memahami
kepelbagaian, ia akan menjadikan masyarakat lebih harmoni kerana ia merupakan
tunjang kepada keamanan dan kesejahteraan sebuah negara merdeka," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan