Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini membidas DAP kerana tidak pernah
memaklumkan apa-apa maklumat atau perkembangan mengenai pemilihan semula
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang dilaporkan mengambil tempat
pada 29 September ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, daripada memberi
maklumat rasmi kepada ROS, DAP sebaliknya dilihat lebih gemar membuat
pengumuman melalui media massa.
''Sampai hari ini saya tak terima apa-apa daripada DAP, apa benda dia nak
buat saya pun tak tahu. DAP cakap (buat pemilihan) pada September, saya pun
hanya tahu melalui media massa.
''Sekarang dia cakap cakap sahaja, saya pun tak tahu apa yang DAP mahu
lakukan sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen
pendaftaran kepada 20 parti politik baharu di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan pemberita mengenai
perkembangan terkini pemilihan semula CEC DAP. Dalam pada itu, Abdul Rahman
turut mempersoalkan kenapa DAP belum menyerahkan 500 surat pengesahan yang
dikatakan ditandatangani oleh wakil yang tidak hadir dalam pemilihan CEC akhir
tahun lalu, untuk mengesahkan bahawa mereka telah menerima notis tersebut
tetapi tidak menghadirinya atas sebab peribadi.
''Mana senarai, mana surat itu? Pada 20 Ogos lalu, dia cakap mahu serahkan,
hari ini sudah 2 September," katanya mengulas kenyataan Setiausaha
Organisasi DAP, Anthony Loke bahawa surat berkenaan akan diserah oleh DAP
walaupun tidak diminta ROS.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, permohonan untuk
mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai parti politik tidak dapat diproses kerana
parti pembangkang tidak mengemas kini maklumat yang sudah diubah.
''Mereka tidak maklumkan kepada ROS walaupun maklumat Jawatankuasa
Bertindak Sementara (Protem) mereka telah ditukar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan