14 September 2013

Jabatan Agama Perlu Gempur Kubu Syiah Yang SESAT




Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah membincangkan Syiah Di Malaysia. Muzakarah itu telah memutuskan bahawa:

1)    Bersetuju supaya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut: Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan al-Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia dimansuhkan.

2)    Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.


Di atas merupakan keputusan terkini Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah dibuat 17 tahun lalu melarang Syiah dalam apa jua aliran diamalkan di Malaysia. Keputusan itu mengandungi lima lagi ketetapan dan boleh dirujuk di portal rasmi fatwa Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di www.e-fatwa.gov.my/.

Jelas yang keputusan tersebut menunjukkan fahaman Syiah adalah haram dan hanya aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Menurut portal berkenaan 11 negeri telah pun mewartakan larangan mengamalkan Syiah dan tinggal lagi empat negeri yang masih belum membuat demikian. Empat negeri terbabit ialah Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak. Ringkasnya, 11 negeri telah mempunyai fatwa membanteras fahaman Syiah, oleh itu mereka mempunyai kuasa untuk memeranginya dalam bentuk penguatkuasaan undang-undang.

Sudah tiba masanya seluruh Jabatan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam negeri-negeri dengan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerak sepenuhnya menggempur markas Syiah di seluruh negara. Mereka mempunyai hak di sudut undang-undang dan langkah tersebut juga boleh disifatkan sebagai satu jihad demi memelihara kesucian akidah umat Islam daripada dicemari oleh satu fahaman yang terbukti menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Dalam Seminar Mendepani Virus Syiah di Pusat Islam, Ahad lalu Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam), Dr. Zamihan Md. Zain mendedahkan bagaimana markas-markas Syiah yang terdapat di negara ini masih menjalankan aktiviti mereka secara aktif. Bukan itu sahaja katanya, mereka juga bergerak aktif di sebalik beberapa jenis perniagaan yang dijalankan.

Walau bagaimanapun Zamihan berkata, sejak larangan mengamalkan fahaman itu diwartakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa negeri-negeri serbuan yang dilakukan terhadap markas-markas Syiah di negara ini amat kurang. Terkini terdapat serbuan yang telah dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah markas Syiah di Gombak pada Oktober tahun lalu.
Sementara itu antara negeri paling ramai pengikut Syiah yang direkodkan ialah di Selangor, Kedah dan Johor. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataannya sebelum ini pula pernah memberitahu sebanyak 250,000 pengikut Syiah berjaya dikesan di negara ini dengan 10 kumpulan dikenal pasti bergerak aktif.

Berdasarkan perkembangan yang amat membimbangkan itu, mahu tidak mahu pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) perlu bertindak tegas dan bergerak lebih pro aktif terutama melalui langkah-langkah penguatkuasaan supaya fahaman Syiah dapat segera disekat.

Walaupun ada kalanya kes-kes tersebut gugur sebaik-baik sahaja mula dibicarakan di mahkamah disebabkan masalah teknikal, itu tidak seharusnya menjadi halangan kepada pihak JAIN menjalankan tanggungjawab mereka membanteras fahaman songsang itu dengan lebih agresif.

Setiap anggota penguat kuasa agama perlu mempunyai semangat yang berkobar-kobar dalam melaksanakan tanggungjawab agama ini selain pihak pendakwa syarie perlu memperkemaskan lagi kerja-kerja di peringkat pendakwaan supaya kes-kes berkaitan Syiah dapat disabitkan ketika berlangsungnya proses perbicaraan.

Dalam pada itu syor supaya kerajaan mewujudkan semula undang-undang berbentuk pencegahanan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Ordinan Darurat juga wajar dipertimbangkan demi menjaga akidah Islam yang semakin terdedah dengan ancaman Syiah.

Menurut Zamihan undang-undang seumpama itu amat berkesan bagi mencegah penularan fahaman Syiah di peringkat awal dan ia berlaku ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, antaranya ISA telah digunakan untuk menahan pendokong-pendokong Syiah tegar.

Ataupun menurut Zamihan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang ada pada hari ini dijadikan sebagai perisai bagi mencegah ideologi ekstremis termasuk Syiah. Kembali kepada seminar tersebut terdapat peserta yang mencadangkan supaya murid-murid di peringkat sekolah rendah lagi didedahkan dengan fahaman-fahaman songsang terutama Syiah melalui sukatan pelajaran pendidikan agama Islam.

Syor itu wajar dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan agar murid-murid tahu latar belakang serta kesesatan Syiah sejak kanak-kanak lagi. Maklumat mengenai kesesatan Syiah itu perlu diperincikan lagi di dalam sukatan pendidikan Islam ketika mereka berada di peringkat sekolah menengah bagi memastikan mereka benar-benar faham mengenai bahaya serta kesan yang dibawa oleh fahaman menyeleweng itu.

Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Islam, Universiti Malaya (UM), Mohd. Hamidi Ismail dalam emelnya kepada penulis berkata, terlalu banyak kesesatan yang ditimbulkan oleh Syiah sama ada untuk anutan pengikutnya atau umat Islam lain.

Yang paling besar ialah mendewakan para imam, sehingga ada yang menyembah Ali r.a dan para imam, bukannya Allah SWT.

Beliau berkata, ini boleh dilihat dalam kitab rujukan utama mereka al-Kafi, bagaimana Ali dan para imam dicatatkan mengaku sebagai hamba Nabi Muhammad SAW dan inilah ajaran membolehkan para pengikut Syiah menyembah para imam walaupun mereka sering menafikan hal ini berlaku dalam ajaran tersebut.

Ditambah lagi katanya dengan kepercayaan bahawa 12 imam itu daripada cahaya Allah dan Ali r.a pernah diberikan sebahagian ‘kuasa’ kenabian oleh Rasulullah SAW.

Ajaran sesat Syiah itu perlu dibanteras dengan segera dan kerajaan serta pihak berkuasa agama negeri tidak boleh berdiam diri. Mereka perlu bertindak segera dengan menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada sebelum virus Syiah itu menjadi barah sekali gus boleh mengancam kesejahteraan umat dan negara.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /