Aksi pasangan kekasih ketika diserbu anggota polis yang dirakamkan penduduk. |
Sebuah
pentas tersorok bersebelahan Dewan Datuk Bahaman Shamsudin, di sini, dijadikan
'port' pasangan remaja melakukan aktiviti kurang sopan. Lokasi yang terletak
berhampiran gelanggang bola keranjang itu didakwa penduduk sering menjadi
tumpuan remaja melepak yang boleh mengundang gejala tidak sihat.
Malah,
dalam kes terbaru, sepasang kasih tidak segan silu bermadu kasih sebelum
sepasukan anggota polis tiba dan membuat pemeriksaan. Ketua Polis Daerah Kuala
Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim berkata, polis melakukan pemeriksaan
berkenaan selepas menerima aduan orang ramai berhubung pasangan yang menjadikan
pentas berkenaan untuk kegiatan tidak bermoral.
"Pasangan
itu diperiksa dan diberikan nasihat sebelum anggota bertugas meminta mereka
beredar dari tempat berkenaan," katanya di sini, semalam.
Azmi
berkata, berdasarkan aduan orang ramai itu, polis juga akan mengadakan operasi
bersama Pejabat Agama Islam Kuala Pilah bagi memantau kawasan berkenaan. Sementara
itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan pentas berkenaan memang lokasi
melepak golongan remaja.
Peniaga
sebuah kedai runcit, Maisuri Abd Rashid, 45, tindakan remaja melakukan maksiat
di kawasan itu perlu dibendung, lebih-lebih lagi ia bersebelahan dengan
perumahan Taman Pilah Perdana.
"Saya
harap selepas ini pihak berkenaan dapat membuat rondaan di kawasan ini bagi
mengelakkan perkara sebegini berterusan," katanya.
Bagi
Mohd Qayyum Abdul Jalil, 23, pula berkata, pentas berkenaan sememangnya
terlindung daripada rimbunan pokok dan agak sunyi memudahkan remaja melakukan
maksiat. Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Zulkifli Baharan berkata,
kawasan pentas berkenaan di bawah penguasaan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP).
"Bagi
mengelakkan masalah ini, MDKP akan memasang lampu di kawasan itu di mana
sebelum ini ia agak gelap. Selain itu, kami juga akan berbincang dengan pihak
penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung
masalah tersebut," katanya.
Pegawai
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kuala Pilah/Jempol, Khalid
Ujang pula meminta jabatan dan agensi kerajaan menganjurkan aktiviti berfaedah
terutama untuk belia di sini supaya kawasan ini menjadi tumpuan ramai serta
tidak lagi sunyi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan