08 September 2013

Kongsi Gelap Rekrut Remaja




Polis mengesan banyak kumpulan kongsi gelap yang berlumba-lumba mencari ahli baharu dalam kalangan remaja terutama mereka yang bermasalah dan tercicir dalam pelajaran bagi menguatkan lagi kumpulan mereka.

Golongan remaja yang bersemangat dan berani menjadi pilihan kerana mudah direkrut untuk melakukan kerja-kerja 'kotor' kumpulan terbabit seperti melakukan samun dan pergaduhan.

Akibat terpengaruh, terdapat remaja termasuk pelajar sekolah asrama sanggup menoreh tangan atau anggota badan untuk 'mengukir' lambang kumpulan kongsi gelap yang disertai.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, mengikut rekod, golongan yang paling ramai menjadi anggota kongsi gelap ialah lelaki berusia 15 hingga 45 tahun dan ada segelintir remaja yang masih belajar di sekolah rendah.

Beliau berkata, dalam kongsi gelap terdapat hierarki iaitu didahului oleh ketua kumpulan dikenali sebagai Ah Kun bagi kongsi gelap Cina, Ayahanda (Melayu) dan nama individu tertentu bagi kongsi gelap India. Katanya, selepas ketua, terdapat ahli biasa iaitu mereka yang menyertai kongsi gelap sebab mahu dilindungi tetapi tidak aktif dalam aktiviti kumpulan.

"Seterusnya ialah ahli aktif tetapi tidak berani. Mereka hanya bertindak menjadi pemandu membawa rakan-rakan semasa melakukan jenayah atau pergaduhan.

"Hierarki yang paling memerlukan ahli muda yang berani ialah fighter. Menyertai kumpulan ini ialah anak-anak muda termasuk remaja yang bersemangat, berani menggunakan senjata dan benar-benar setia dengan arahan ketua," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurut Abdul Jalil, bagi membentuk keberanian, golongan muda itu akan mengambil dadah dan minuman keras. Beliau berkata, jika mereka berjaya mencapai kemenangan beberapa kali dalam pergaduhan, ahli fighter akan dinaikkan pangkat Tiger General yang membolehkan mereka menguasai sesebuah kawasan.

Katanya, tujuan kongsi gelap menarik ramai remaja menjadi ahli ialah bagi menambah jumlah pengikut agar kumpulan mereka menjadi semakin kuat.

"Ketika ini, kongsi gelap Cina yang mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh berbanding kongsi gelap kaum lain dilihat banyak menguasai perniagaan perkhidmatan membaiki kenderaan dan pusat hiburan. Kongsi gelap Melayu pula terlibat dalam kegiatan menarik kereta, jadi pengawal atau bouncer kelab malam dan pemerasan," katanya.

Abdul Jalil berkata, kongsi gelap India adalah paling ganas kerana banyak terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan samun. Beliau berkata, kegiatan merekrut remaja menyertai kongsi gelap jika tidak dibendung boleh memudaratkan kerana golongan terbabit adalah pelapis masa depan negara.

Sehubungan itu, ujarnya, ibu bapa patut membantu polis mengawasi anak-anak agar tidak terlibat menyertai kongsi gelap dan aktiviti haram dilakukan oleh kumpulan penjenayah berkenaan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /