Umum sudah tahu bekas
Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, mati di Bangkok 16
September lalu. Namun matinya bukan sebagai 'harimau mati meninggalkan belang'
tetapi sebagai pengkhianat yang melakukan pelbagai kezaliman dan penderitaan
kepada rakyat dan negara ini.
Chin Peng kini hanya
tinggal dalam lipatan sejarah. Namun kematiannya tidak dapat memadam
parut-parut luka yang terpahat dalam sanubari rakyat negara ini. Parut-parut
luka ini akan terus menjadi ingatan ngeri rakyat yang banyak menderita dan
terkorban akibat kekejaman komunis, khususnya anggota pasukan keselamatan.
Tiada apa ingatan
baik untuk Chin Peng atau PKM. Justeru saya hairan apabila ada akhbar di negara
ini yang membesar-besarkan berita kematian Chin Peng seolah-olah dia bagaikan
tokoh negara. Tidak kurang juga portal berita yang mengambil pendekatan sama.
Ada akhbar berbahasa
Cina yang menyiarkan kematiannya secara besar-besaran di muka depan. Gambarnya
besar terpampang seolah-olah Chin Peng wira yang disanjung.
Dalam ingatan saya,
sewaktu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim, mati ditembak oleh
komunis di Kuala Lumpur pada 7 Jun 1974 gambarnya tidaklah terpampang besar memenuhi
ruang akhbar sedangkan Allahyarham mati demi tugas untuk negara.
Begitu juga apabila
Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong, mati ditembak oleh komunis di Ipoh
pada 13 November 1975, gambarnya tidaklah tersiar besar sedangkan mendiang mati
ketika berkhidmat untuk negara. Begitu juga dengan pemandu Khoo, Sarjan Yeong
Peng Chong yang juga maut ditembak pengganas komunis tersebut.
Namun akbar berbahasa
China yag dimaksudkan ini nampaknya begitu simpati dengan kematian Chin Peng
sehingga gambar dan berita kematiannya disiarkan secara besar-besaran.
Selain itu sebuah
akhar berbahasa Inggeris yang popular juga nampaknya begitu simpati dengan
kematian Chin Peng. Berita kematiannya disiarkan secara besar-besaran oleh
akhbar itu yang saya perhatikan selama ini memang selalu mengambil pendekatan
daripada perspektif negatif terhadap isu-isu tertentu.
Akhbar berkenaan
menyiarkan tinjauan, khasnya daripada kaum tertentu dan pemimpin pembangkang
yang mahu kerajaan membenarkan mayat atau abu Chin Peng dibawa pulang ke
Malaysia. Mereka menyuarakan desakan ini walaupun kerajaan telah bertegas
menyatakan tidak akan membenarkan mayat atau abu pengganas itu dibawa pulang.
Apakah akhbar itu
sudah hilang pertimbangan mahu mendesak kerajaan menurut kemahuan kelompok
tertentu yang simpati dengan Chin Peng? Apakah ia mahu popular atau mempunyai
agenda jahat yang tersembunyi?
Hakikatnya Chin Peng
bukan lagi warga negara Malaysia. Amat mudah bagi seorang pemimpin pembangkang
menyebut 'yang lalu biarkan berlalu' sebagai justifikasi mahu membawa balik
mayat atau abu Chin Peng. Malah ada pula kerabat diraja dan anggota parti
komponen Barisan Nasional yang turut mempertikaikan langkah kerajaan ini.
Soalnya, begitu
mudahkah untuk melupakan segala kekejaman yang dilakukan oleh Chin Peng dan
suku sakatnya? Semudah itukah untuk memberi maaf? Bolehkan dipadam begitu
sahaja semua parut penderitaan angkara kekejaman komunis?
Untuk apa mereka ini
mahu kerajaan membenarkan mayat atau abu Chin Peng dibawa ke Malaysia? Agar
kerajaan menjadi popular? Adakah mereka fikir kerajaan mahu berbuat demikian,
satu tindakan yang akan menambahkan luka balu-balu, anak-anak dan saudara mara
pejuang negara yang tumbang mempertahankan negara angkara komunis. Hilang akal
agaknya mereka yang mendesak ini.
Chin Peng telah
diberi peluang. Peluang itu ialah dalam perundingan damai di Baling pada 1955
dengan Tunku Abdul Rahman. Chin Peng enggan menyerah diri dan meninggalkan
perjuangannya. Sebaliknya dia memilih kembali untuk ke hutan meneruskan
perjuangan mengangkat senjata menentang kerajaan melalui perjuangan yang
sia-sia.
Begitu juga semasa
perjanjian damai di Bangkok antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 1989. Chin
Peng diberi masa setahun untuk memohon menjadi warga negara Malaysia tetapi dia
tidak berbuat demikian. Dengan itu haknya telah lupus.
Adakah sebenarnya
saudara mara Chin Peng yang berharap mayat atau abunya dibawa pulang atau orang
sekeliling atau pemimpin-pemimpin politik tertentu yang mencucuk mereka
berhubung isu tersebut?
Namun bagi saya, dan
saya percaya bagi rakyat lain di negara ini, mayat atau abu Chin Peng tidak
boleh dibawa ke Malaysia. Segala tindak tanduknya memyebabkan dia tidak boleh
diterima di bumi Malaysia. Inilah hakikat yang perlu difahami dan diterima oleh
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan