Enam pekerja warga
Myanmar cedera parah apabila 15 daripada 300 tong gas di sebuah stor bangunan
industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan Perindustrian Parit Bakar Darat,
di sini meletup malam tadi.
Dalam kejadian
kira-kira 8.40 malam itu, kesemua mangsa berusia 30-an dipercayai sedang
melakukan kerja pemindahan gas memasak secara haram daripada tong 14 kilogram
ke tong 50 kilogram di premis yang menempatkan 300 tong gas tersebut apabila ia
tiba-tiba meletup.
Pegawai Operasi Kanan
1, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Ismail Mahmod berkata, sebaik menerima
panggilan kira-kira jam 8.52 malam, 18 anggota berserta dua jentera bergegas ke
tempat kejadian.
"Apabila tiba,
api telah marak dan mula merebak ke bangunan kedua dan pihak bomba terpaksa
memadam kabakaran dengan menggunakan kaedah penyejukan bagi memastikan tong gas
lain tidak meletup.
"Kita juga
terpaksa menutup kawasan perindustrian tersebut untuk mengelak sebarang
kejadian tidak diingini semasa operasi pemadaman dilakukan dan akhirnya api
berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 10.50 malam," katanya ketika
dihubungi Bernama hari ini.
Katanya, kesemua
mangsa dibawa dengan menggunakan tiga ambulans ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF)untuk
mendapatkan rawatan.
Menurutnya, siasatan
awal mendapati kebakaran tersebut berpunca daripada kebocoran gas sebelum
berlaku percikan api menyebabkan berlakunya letupan dan kebakaran yang
mengakibatkan kerugian dianggarkan lebih RM300,000.
Siasatan juga
mendapati keenam-enam warga asing tersebut tinggal dalam stor berkenaan, namun
pemilik premis itu gagal dikenal pasti berikutan aktiviti tersebut dijalankan
secara tertutup.
Sementara itu,
Pengarah HPSF Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, kesemua mangsa berada dalam
keadaan kritikal kerana lebih 50 peratus tubuh mereka melecur dengan teruk.
"Mereka kini
ditempatkan di Unit Rawatan Kecemasan (ICU) HPSF. Kita tidak mempunyai sebarang
butiran lanjut mengenai mereka kerana sehingga kini masih tidak menerima
sebarang dokumen daripada pihak majikan," katanya kepada pemberita di
sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan