11 September 2013

Penyanyi Rembau Most Wanted, Sombong Dan Besar Kepala




Pernah timbul khabar angin mengatakan penyanyi baharu yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Mixology Music, Waris sudah semakin besar kepala dan kurang berdisiplin. Dakwaan itu timbul ekoran tindakan Waris atau nama sebenarnya, Muzammil Alias, 24, menolak pelawaan untuk penggambaran fotografi selain sukar memberikan kerjasama untuk sesi temu bual dengan beberapa buah akhbar tempatan.

Waris yang mula popular dengan lagu rap Rembau Most Wanted sekitar awal tahun ini, kini muncul dengan single terbaharu, Botingkek. Jom baca temu bual dan maklum balasnya berhubung isu ini.


Timbul beberapa dakwaan sebelum ini bahawa Waris kini sudah besar kepala dan sukar memberikan kerjasama kepada rakan media. Benarkah?
Tidak mungkin! Bukan saya sengaja menolak sesi fotografi atau sukar memberikan kerjasama untuk temu bual tapi saya terpaksa buat kerana pelajaran. Kalau betul saya perlu membatalkan temu janji pada saat-saat akhir, saya akan berbincang terlebih dahulu dengan individu atau wartawan terbabit. Sejujurnya, saya tidak boleh memberikan fokus terhadap semua perkara dan hanya boleh meluangkan masa pada hujung minggu atau cuti semester.

Adakah ini bermakna Waris tidak bersedia untuk menjadi artis buat masa sekarang kerana gagal memberikan kerjasama untuk urusan yang penting seumpama itu?
Saya harus utamakan pelajaran dan setakat ini tidak ada lagi perkara negatif timbul mengenai saya. Saya sendiri terkejut apabila diberitahu akan tuduhan saya sombong ini. Alhamdulillah, kerjaya sebagai penyanyi mampu sedikit sebanyak menampung pelajaran saya.

Mungkin juga Waris terkejut dengan budaya dunia seni yang datang secara mendadak dalam hidup peribadi anda?
Tidak timbul rasanya isu saya mengalami kejutan budaya kerana saya sudah bersedia sebelum mula merakamkan lagu pertama dulu. Saya akui saya terkejut dengan penerimaan peminat terhadap lagu saya dan tidak menjangka sama sekali akan meledak seperti sekarang. Alhamdulillah orang sudah mula mengenali saya walaupun bukan lagi terkenal.

Apakah penjelasan Waris apabila ada pihak yang mendakwa sukar sekali untuk berhubung dengan anda sama ada melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS)?
Sebab pelajaran! Apabila waktu kuliah, saya minta maaf saya tidak boleh diganggu kerana mahu memberikan fokus dan mahu menghormati pensyarah saya. Orang ramai perlu faham situasi saya. Kalau boleh saya utamakan, saya akan utamakan mana-mana yang perlu.

Bagaimanakah pula persediaan Waris pada masa akan datang?
Mungkin perkara ini akan mengganggu saya tapi saya akan cuba melakukan yang terbaik. Saya mahu tamatkan pengajian bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Selangor terlebih dahulu. Dalam tempoh setahun setengah lagi, barulah saya boleh memberikan fokus dalam kerjaya seni. Kalau saya melayan (media) lebih, pensyarah pula akan kata saya kekwat (sombong), jadi saya tidak boleh menangkan hati sesiapa buat masa sekarang. Mana-mana yang saya boleh layan, saya akan layan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /