10 September 2013

Chua Soi Lek Perlu Berundur



Walaupun prestasi begitu corot dalam Pilihanraya yang lepas, parti itu nampaknya masih tidak serius untuk melakukan perubahan dan pemulihan.  MCA masih lagi membawa pendekatan yang sama seperti sebelum pilihanraya iaitu santai dan tidak bersungguh-sungguh.

Sehingga ke hari ini, selain dari usaha ‘membina imej Perdana Menteri 1Malaysia yang amat mesra Cina’, MCA tidak punya sebarang idea bernas untuk menarik kembali sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional. Sebaliknya, apa yang dapat dilihat hanyalah usaha MCA untuk ‘meng-DAP-kan’ BN semata-mata.

Namun, ini tidak bermakna yang MCA tidak aktif berpolitik.  MCA masih aktif dengan politik dalaman parti. Baru-baru ini, Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bertengkar secara terbuka dengan timbalannya Datuk Seri Liow Tiong Lai. Soi Lek menuduh Liow mendesaknya melepaskan jawatan dan desakan itu dibuat sebanyak 3 kali.


Liow menempelak menuduh Soi Lek sebagai keterlaluan dan mengingatkan Presidennya itu bahawa kesabaran beliau mempunyai had. Menurutnya, Soi Lek telah berjanji sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi parti pada 11 Mei bahawa beliau tidak akan bertanding dan akan menyerahkan jawatan kepadanya.

Kita tidak tahu siapa yang berkata benar tetapi kita tahu bahawa pertikaman lidah antara kedua mereka tidak akan membawa kebaikan kepada parti mahupun ahli-ahli MCA. Rakyat juga melihat krisis kepimpinan di dalam MCA ini sebagai jelik dan membosankan.

MCA sering melihat dasar-dasar UMNO sebagai punca orang-orang Cina tidak menyokong BN. Walhal, faktor yang lebih utama yang menjadikan MCA semakin tidak relevan di kalangan masyarakat Cina ialah masalah kepimpinan. MCA tidak mampu menjadi pemimpin kepada masyarakat Cina sebaliknya sering kalah kepada asakan DAP yang membawa aspirasi bertentangan dengan semangat nasionalisme dan patriotisme.

Tidak mampu menentang DAP, MCA sedikit demi sedikit menerima pemikiran DAP.  Ini menjadikan parti tersebut bertambah lemah sehingga hampir lenyap sama sekali.
Untuk terus relevan di kalangan masyarakat Cina dan di masa yang sama menepati aspirasi nasional, MCA perlu mempunyai pemimpin yang mempunyai visi dan hala tuju yang jelas selain keperibadian yang teguh.

Sesuai dengan sikap masyarakat Cina yang perlu dipimpin dengan cara yang tegas, seorang pemimpin MCA harus punya kaliber dan karisma yang tinggi agar mampu menarik masyarakat Cina agar menghormatinya, mendengar katanya serta mengikut rentaknya.  Beliau perlu berani meletakkan Malaysia dahulu dan Cina kemudian. 

Beliau tidak boleh melihat yang beliau perlu memilih untuk menjadi Cina atau untuk menjadi orang Malaysia sekali gus mampu menerapkan perkara yang sama di kalangan ahli-ahlinya.

Untuk itu, beliau sendiri perlu terlebih dahulu percaya kepada pendekatan ini serta tidak bersifat hipokrit. Pendek kata, Presiden MCA harus meletakkan semangat setia kawan yang termeterai dengan UMNO dan MIC suatu ketika dahulu, di tempat paling tinggi. Hanya dengan cara ini maka MCA mampu maju ke hadapan dan bukannya terumbang ambing mencari pegangan.

Jika lidah rasmi MCA iaitu the Star juga seolah-olah sudah menjadi lidah tidak rasmi DAP, maka tidak salah jika kita menganggap yang MCA sebenarnya sudah pupus atau sudah mati.

Jelas, Chua Soi Lek telah gagal menjadi Presiden MCA yang berkesan.  Akhir-akhir ini, MCA dilihat tidak lagi membawa semangat setia kawan yang sama seperti dahulu, tetapi lebih cenderung untuk bersuara senada dengan golongan yang menyanjung komunis, rasis dan cauvinis.  Roh MCA sudah dirasuk DAP.

Hakikatnya, MCA tidak mungkin dapat pulih kembali selagi ia membawa aspirasi DAP. Justeru, Soi Lek perlu bersara bagi membolehkan MCA melantik kepimpinan baru yang mampu menghayati perjuangan asal parti. Hanya dengan cara ini maka MCA akan kekal relevan dalam arus politik negara.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /