Timbalan Presiden
UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu sudah cukup bersedia untuk
menjayakan pemilihan terbesar dalam sejarah penubuhannya pada 12 dan 19 Oktober
nanti bagi menjadikan UMNO lebih kuat, disegani serta dihormati.
Menurut beliau,
selain daripada segala persiapan sudah dilakukan dengan sebaik mungkin, para
perwakilan yang berjumlah 146,000 juga cukup matang untuk memilih pemimpin di
peringkat bahagian, sayap dan nasional bagi memimpin orang Melayu serta negara
Malaysia.
Malah, beliau yang
juga Timbalan Perdana Menteri yakin apabila selesai pemilihan kelak, UMNO bukan
sahaja akan muncul sebagai sebuah parti yang paling demokratik tetapi bersifat
dinamik dengan mencerminkan segala pengalaman dan keupayaan untuk memerintah.
Bagaimanapun, beliau
tetap menasihatkan para perwakilan serta calon yang bertanding agar memastikan
pemilihan kali ini berjalan dalam keadaan tertib, tersusun dan penuh
kekeluargaan kerana banyak pihak sedang memerhati perjalanan transformasi UMNO.
"UMNO cukup
bersedia. (menjalankan) Simulasi, kursus dan taklimat yang melibatkan sejumlah
tenaga yang begitu ramai. Ini bukan sesuatu perkara yang terlalu susah kerana
pemilihan UMNO sudah berlaku sekian lama, cuma kali ini melibatkan format
baharu.
"Ini demokrasi
dalam parti. Kita lihat kebijaksanaan perwakilan. Saya yakin mereka bijaksana
dan tahu siapa mereka nak pilih, bukan sahaja bahagian dan sayap, tetapi
nasional," katanya selepas meninjau proses simulasi pemilihan UMNO di
Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) di Janda Baik dekat sini hari ini.
Yang turut hadir
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengerusi
Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan Pemangku
Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.
Dalam pada itu,
Muhyiddin berkata, keputusan pemilihan pada kali ini dijangka dapat diumumkan
pada malam 12 dan 19 Oktober tetapi bagi bahagian yang mempunyai jumlah
perwakilan ramai terutama melibatkan Sabah, keputusan mungkin diketahui sehari
lewat.
Ditanya bagaimana
bentuk barisan kepimpinan di peringkat nasional yang ingin dilihat beliau
selaku Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan kali ini, Muhyiddin berkata,
perkara itu hak perwakilan untuk memutuskan kerana mereka yang dipertanggungjawab
memilih.
"Bukan soal
Presiden dan Timbalan Presiden. Ini soal perwakilan yang akan memutuskan
pemilihan itu. Saya pun tidak boleh meramalkan macam mana. Jangan tanya yang
macam mana saya hendak atau tidak hendak. Kita tunggu sahajalah," jelasnya.
Sementara itu,
mengulas tentang gesaan banyak pihak dalam UMNO agar kempen pada pemilihan kali
ini dipermudahkan, Muhyiddin berkata, pihak terbabit boleh merujuk perkara
berkenaan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2013 dan Lembaga Disiplin parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan