Pengikut-pengikut
tegar Syiah sanggup memohon untuk diisytiharkan keluar daripada Islam
semata-mata bagi mengamalkan ajaran itu secara terbuka. Timbalan Ketua Pengarah
(Pembangunan Insan), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Razali
Shahabudin berkata, perkara itu diketahui menerusi ratusan salinan surat
permohonan yang diterima pihak Jakim.
Katanya, surat-surat
yang turut disertakan bersama salinan kad pengenalan pengikut itu dengan jelas
berniat untuk mendapatkan perkenan atau kelulusan Jakim bagi menukar agama.
"Kita tidak boleh
berkompromi dalam konteks membanteras Syiah yang semakin serius ini, sama ada
sedar atau tidak, kita betul-betul dicabar.
"Secara
terang-terangan mereka menguji kekuatan iman dan kekuatan pegangan kita sebagai
Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya ketika berucap dalam Nadwah Ulama Nusantara Kelima di Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) dekat sini hari ini.
Nadwah
Ulama Nusantara yang bertemakan 'Ulama
dan Cabaran Idealisme Semasa' itu antara lain membincangkan cabaran yang
dihadapi golongan ulama dalam menangani permasalahan yang dihadapi masyarakat
kini.
Dalam perkembangan
sama, menurut Razali, semua pihak harus mengambil tanggungjawab memerangi Syiah
secara lebih agresif menerusi penjelasan kepada masyarakat tentang
penyelewengan ajaran itu. Katanya, langkah itu penting kerana isu penyelewengan
fahaman Syiah melibatkan persoalan fundamental iaitu kedudukan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Memerangi Syiah
dan mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan tanggungjawab fardu
seluruh masyarakat terutama para ulama dan cendekiawan Islam, justeru Jakim
menyeru golongan ini supaya perlu dan mesti sentiasa ke hadapan.
"Oleh itu,
golongan ulama tidak boleh berselisih faham walaupun berbeza ideologi, sehingga
mengabaikan penyatuan akidah dan melemahkan kedudukan agama," katanya.
Sementara itu, Razali
berkata, Jakim komited melaksanakan forum dalam kalangan pelajar institusi
pengajian tinggi (IPT) sebagai salah satu usaha menjelaskan kepada golongan
muda tentang isu-isu semasa Islam.
"Ruang dan
peluang selama dua jam yang diberikan itu cukup istimewa kerana dapat
berbincang dan menjelaskan secara terperinci tentang isu Syiah dan lain-lain
permasalahan agama kepada pelajar-pelajar baharu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan