Pulangnya Tan Sri
Azizan Razak ke rahmatullah baru-baru ini, bermaksud berlakunya kekosongan bagi
DUN Sungai Limau - kekosongan kedua sejak PRU13 berakhir, selepas DUN Kuala
Besut yang kosong selepas kematiannya penyandangnya, berjaya dipertahankan BN
Ogos lepas.
Menarik dalam PRK
Sungai Limau nanti, Pengerusi Perhubungan BN Kedah yang baru, merangkap Menteri
Besar, Datuk Mukhriz Mahathir akan turut memimpin BN buat pertama kalinya
sebagai Jeneral dalam kempen pilihanraya kecil yang dijangka sengit itu nanti.
BN sudah pasti mahu
melengkapkan penguasaan di Parlimen Jerai dengan merampas DUN Sungai Limau dari
PAS setelah kawasan parlimen itu sendiri berjaya dirampas melalui calonnya
Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam PRU13 yang lepas, selain BN berjaya
mengekalkan 2 kerusi DUN yang lain (Gurun dan Guar Cempedak).
Kejayaan ataupun
kegagalan BN dalam kempen tersebut nanti, pasti memberi kesan kepada peluang
Mukhriz dalam persaingannya untuk merebut salah satu jawatan Naib Presiden UMNO
dalam pemilihan parti yang bakal diadakan bulan depan.
Ini adalah hakikat
yang tidak boleh dielak kerana, walaupun dilantik sebagai Menteri Besar sebaik
BN diumumkan berjaya kembali berkuasa di Kedah Mei lepas, Mukhriz bukanlah yang
mengetuai jentera kempen BN di Kedah pada waktu itu, sebaliknya Pengerusi
Perhubungan BN sebelum beliau, Datuk Ahmad Bashah.
Walaupun dalam masa
yang sama, tidak dapat dinafikan faktor pencalonan beliau sebagai Menteri Besar
Kedah yang baru sebelum itu, turut memainkan peranan yang tidak kurang besar
dalam mencapai kejayaan tersebut.
Tapi kali ini
situasinya jelas berbeza, mahu tidak mahu Mukhriz perlu menerima hakikat bahawa
corak pentadbirannya berbanding dengan yang lama sudah boleh dilihat dan
dinilai rakyat Kedah amnya dan pengundi Sungai Limau khasnya.
Di samping itu, kali
ini Mukhriz akan turut berhadapan dengan isu-isu nasional seperti kenaikan
harga minyak baru-baru ini yang pasti akan di manipulasi sehabis mungkin oleh
pembangkang, seolah-olahnya kalau PAS berjaya mengekalkan kuasa di DUN Sungai
Limau dalam kempen PRK itu nanti, harga minyak akan diturunkan serta merta seperti
mana janji Anwar Ibrahim dalam buku Jingga.
Tidak juga, tapi
pembangkang peduli apa, yang penting pada mereka ialah menang pilihanraya dan
mengekalkan kuasa.
Mungkin kalau ada
yang boleh membantu sedikit sebanyak ialah sikap terpuji Mukhriz yang tidak
menunjukkan sebarang tanda-tanda permusuhan dengan Allahyarham Azizan apabila
sering kali kelihatan melawat bekas Menteri Besar tersebut sejak Allahyarham
mula jatuh sakit. Malah pentadbiran
Mukhriz juga secara terbuka mengumumkan akan membantu Azizan sepanjang
menjalani rawatan, sesuai dengan kedudukannya sebagai bekas Menteri Besar.
Pendekatan mulia yang
dipilih Mukhriz ini mungkin sedikit sebanyak boleh membantu kempen BN nanti, di
samping faktor calon dan isu-isu nasional yang lain seperti yang dijelaskan di
atas.
Justeru, yang nyata
PRK Sungai Limau nanti pasti akan menjadi medan tempur politik yang menarik
selepas PRU13. Kempen kali ini bukan setakat persaingan mencari pengganti
Allahyarham sebagai ADUN, tapi juga untuk Mukhriz membuktikan kebolehannya
sebagai pencatur politik yang berjaya dan tidak setakat bergantung kepada
populariti bapanya, Tun Mahathir Mohamad semata-mata.
Pendek kata, Mukhriz
ada terlalu banyak yang nak dibuktikan, kepada rakyat Kedah dan pengundi Sungai
Limau terutamanya, selain ahli-ahli UMNO sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan