Penyanyi dan pelakon
Izzue Islam meluahkan rasa bersalah terhadap kumpulannya iaitu Forteen kerana
tidak memberi komitmen sepenuhnya terhadap grup itu. Izzue atau nama
sebenarnya, Muhammad Izzue Islam Mazlan, 23, berkata, dia tidak dapat menyertai
aktiviti kumpulan tersebut jika jadual kerjanya bertindan dengan penggambaran.
"Kadang-kala
memang terdetik rasa bersalah pada diri saya kerana tidak dapat menyertai
persembahan Forteen kerana sibuk dengan penggambaran. Bagaimanapun saya
bersyukur kerana pihak produksi dan ahli-ahli Forteen yang lain memahami kerja
saya dan tidak pernah mempertikaikan perkara tersebut," katanya.
Tambah Izzue, perkara
berkaitan komitmen telah dibincangkan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan
menyertai kumpulan tersebut. Katanya, dia masih tetap membawa nama kumpulan itu
biarpun berada dalam bidang lakonan.
"Pada saya
dengan berlakon juga dapat membantu memperkenalkan kumpulan Forteen secara
tidak langsung. Saya faham kadang-kala peminat yang datang untuk menonton
persembahan Forteen agak kecewa jika saya tiada, namun mereka boleh melihat
saya di televisyen," katanya.
Ketika ditanya, sama
ada pernah terlintas atau tidak untuk dia meninggalkan kumpulan tersebut, Izzue
berkata, dia tidak pernah terfikir ke arah itu. Jelas Izzue, dia selesa dengan
kedua-dua kerjaya berkenaan dan masih mampu mengurusnya dengan baik.
"Rezeki terhadap
bidang lakonan memang agak banyak, begitu juga dengan nyanyian, di mana kami
akan melancarkan album pertama Forteen dalam masa terdekat ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan