29 September 2013

UMNO Perlu Lebih Ramai Golongan Agama




Pertubuhan Ilmuan Malaysia menyokong sepenuhnya cadangan agar UMNO diberi lebih ruang serta peluang kepada golongan agama bagi bersama-sama parti itu demi masa depan Islam dan Melayu.

Penasihat Eksekutifnya, Dr. Fathul Bari Mat Jahaya berkata, cadangan itu wajar diperhalusi dan dipertimbangkan kerana dilihat sejajar dengan agenda transformasi parti yang sedang dilakukan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun, beliau berharap peranan golongan itu juga tidak disempitkan dalam majlis-majlis keagamaan sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan mencakupi semua sudut termasuk pentadbiran, ekonomi serta sosial.

"Kini peranan golongan agama hanya tertumpu menjadi ketua majlis tahlil atau membaca doa, sedangkan dunia sekarang bercakap tentang ekonomi Islam dan sudah pasti peranan mereka ini juga perlu dikembangkan mengikut keadaan semasa.

"Berikan golongan agama peluang untuk mereka meluahkan dan memberi pandangan dalam sesuatu perkara berlandaskan syariat Islam dan mungkin dengan cara ini dapat membantu parti lebih kukuh pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Pertubuhan Ilmuan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusinya, Dr. Fadlan Mohd. Othman serta Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Ahmad Fazrin Yahya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan agar UMNO memberi ruang kepada golongan agama untuk bersama-sama menerajui parti itu.

Mengulas lanjut, Fathul Bari juga memberitahu, selain memberi tempat, golongan agama juga perlu diberikan platform dan pentas bagi mereka memberikan pandangan termasuk dalam bidang politik dan ekonomi.

"Kita tidak boleh lari daripada konsep Islam dalam perkara tersebut dan jangan sempitkan golongan agama ini dengan perkara remeh. Jangan sekadar bagi tempat melalui pertandingan tetapi akhirnya tidak diberi peranan," ujarnya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /