14 September 2013

Selepas Hollywood Aeril Zafrel Bakal Berlakon Di Indonesia




Sudah lama tidak mendengar sebarang berita mengenai aktor Aeril Zafrel. Kali terakhir berita tentangnya hangat diperkatakan selepas dia secara terbuka memberitahu dirinya sedang mendalami ilmu agama. Sejak itu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari bagai hilang seketika daripada direktori dunia hiburan.

Namun dalam diam, Aeril telah terlibat dengan sebuah filem Hollywood lakonan bersama aktres Christina Ricci. Tahun depan dia bakal mengembangkan sayap seni ke Indonesia menerusi filem Islamik berjudul Sabda Kekasih. Terbaharu, peminat boleh menatap wajahnya saban hari menerusi drama bersiri Cinta Jannah di TV3.


"Saya akui, sejak keluar daripada pengurusan MIG, saya agak senyap tetapi bukan bermakna saya sudah tidak berminat dengan lakonan. Sebaliknya, saya masih sibuk dengan lakonan. Cuma, jadual saya tidak sepadat dahulu kerana kini saya lebih selektif memilih karya," ujarnya.

Tegas anak muda berusia 25 tahun itu, kini matlamatnya terhadap dunia lakonan agak berbeza sejak mendalami agama kerana karya yang dipilih haruslah memberi kesan positif pada penonton dan dirinya sendiri.

"Kalau dahulu saya pernah mengambil dua tawaran dalam satu masa, kononnya untuk meraih pendapatan yang lebih akhirnya memakan diri kerana tidak mampu membahagikan masa.

"Saya belajar daripada kesilapan dan sekarang saya hanya mengambil satu tawaran dalam satu masa supaya saya ada masa untuk mengkaji watak yang diberikan. Bukan itu sahaja, tawaran yang dipilih harus memberi kesan yang bermanfaat kepada penonton serta diri saya sendiri," katanya.

Tambahnya, setiap karya yang datang diteliti terlebih dahulu dan andai pihak produksi boleh mengikut peraturannya barulah dia akan bersetuju dengan tawaran tersebut.

"Saya bukan diva. Sebaliknya, saya tidak mahu adegan-adegan yang keterlaluan dengan pelakon wanita. Selepas menyatakan perubahannya kepada pihak media, pihak produksi tidak teragak-agak memberi tawaran kerana mereka sudah tahu pantang larangnya.

"Setakat hari ini, semua tawaran yang datang tidak ada sebarang masalah. Walaupun saya sudah berubah tetapi tidaklah terlalu ekstrem. Saya tidak meletakkan sebarang had dalam pemilihan watak kerana saya masih melakonkan karakter yang pelbagai," jawabnya.


Masih Aeril yang sama

Walaupun setiap hari Jumaat dia akan berjumpa guru agamanya di Masjid Muadz Bin Jabal di Setiawangsa, Kuala Lumpur, Aeril menjelaskan, perubahan dirinya tidak menjejaskan kehidupan sosialnya.

"Saya masih Aeril yang sama, saya memang suka bersendiri dan tidak ramai rakan daripada kalangan artis. Saya juga jarang-jarang hadiri majlis hiburan. Cuma saya cukup rapat dengan Ellie Suriati dan suaminya, Azri Iskandar. Mereka ibarat mentor saya dalam dunia lakonan.

"Selebihnya, selesai sahaja penggambaran, saya akan pulang ke rumah. Rakan-rakan lama saya masih berhubung tetapi kami hanya jumpa jika ada hal yang penting. Bukan tidak mahu tetapi sekarang masing-masing sudah mempunyai komitmen kerjaya," tuturnya.

Katanya, tidak semestinya dirinya semakin dekat dengan agama dia harus meninggalkan bidang seni walhal ia merupakan periuk nasi utamanya sehingga hari ini.

"Saya tidak pernah berniat untuk meninggalkan dunia lakonan kerana saya cukup minat dengan seni lakonan. Bagi saya, pendapatan berlakon agak lumayan berbanding pengalaman saya bekerja di bidang yang lain sebelum ini.

"Pada masa akan datang saya tidak tahulah bagaimana perjalanan yang diaturkan Allah untuk saya tetapi sampai hari ini fokus saya hanya pada lakonan kerana saya tidak mempunyai pekerjaan yang lain," terang anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu.

Bahkan, bakat Aeril sudah pun diperakui sehingga ke Hollywood dan dia bakal ke Indonesia pada tahun hadapan bersama produksi dari seberang.

"Alhamdulillah, mungkin sudah rezeki. Selepas filem Hollywood, pada awal tahun depan saya akan terlibat dengan sebuah filem islamik Indonesia berjudul Sabda Kekasih.

"Saya difahamkan, semua pelakon yang terlibat merupakan tenaga lakonan daripada filem Ayat-Ayat Cinta dan Cinta Bertasbih. Mungkin filem ini merupakan batu loncatan untuk melebarkan kerjaya lakonan saya di sana. Doakan yang terbaik untuk saya," ucapnya.


Paksa diri

Mungkin ramai yang beranggapan Aeril lebih mendekatkan diri dengan agama selepas mendapat hidayah. Bagaimanapun, tegas Aeril, dia yang memaksa dirinya untuk berubah ke arah yang lebih baik.

"Saya tidak tahu apa pandangan orang terhadap saya tetapi saya cuba dan paksa diri saya berubah untuk menjadi Aeril hari ini dan lebih baik pada masa akan datang.

"Jika hendak tunggu diri saya memperoleh hidayah Allah tidak tahu bila atau mungkin tidak akan dapat sampai bila-bila. Jadi, saya harus jentik hati saya sendiri untuk berubah," akuinya.

Jelasnya, mungkin ada orang yang tidak senang dengan perubahannya yang masih kekal berlakon walaupun sudah semakin dekat dengan agama tetapi sebagai anak seni, Aeril mempunyai pendiriannya tersendiri.

"Lain orang, lain caranya. Bagi saya, sebagai artis saya cuba untuk memberi contoh yang terbaik buat penonton dan peminat saya. Kalau ada yang tidak suka, saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana lain orang lain pendapatnya.

"Sukar untuk saya memuaskan hati semua orang. Selagi niat saya ke arah yang positif, saya akan terus terlibat dalam lakonan sehingga saya bertemu dengan suatu bidang lain yang lebih sesuai," bicaranya panjang lebar.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /