Pegawai penguatkuasa
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan dua pemain bola sepak Pahang kerana
disyaki berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini, semalam. Menurut sumber, dua
pemain skuad Tok Gajah berusia 20-an itu ditahan bersama pasangan masing-masing
di bilik berasingan kira-kira jam 4.30 pagi.
Serbuan itu dilakukan
sepasukan pegawai penguatkuasa JAIP hasil maklumat orang awam yang mengesyaki
mereka mendaftar masuk bersama pasangan bukan muhrim.
Hasil pemeriksaan di
bilik pertama mendapati seorang pemain Pahang yang dipercayai bermain di posisi
tengah pasukan bersama seorang wanita bukan muhrim berada dalam bilik
berkenaan, kata sumber itu.
Menurutnya
pemeriksaan di sebuah bilik berdekatan pula mendapati rakannya yang dipercayai
pemain pertahanan Pahang berada bersama seorang wanita sebelum mereka ditahan
kerana disyaki berkhalwat.
Sumber itu berkata
sebelum pintu kedua-dua bilik hotel itu dibuka, pegawai penguatkuasa JAIP
mengetuk pintu bilik beberapa kali selain memperkenalkan diri sebagai pegawai
penguatkuasa.
Menurutnya siasatan
awal mendapati kedua-dua pemain yang belum berkahwin itu mengaku berkhalwat
bersama pasangan masing-masing yang berusia 20-an. Kesemua mereka katanya
dibawa ke Pejabat Jaip untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 145 Enakmen
Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan