MAJLIS PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA
OLEH
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
PADA 14 SEPTEMBER 2013 (SABTU),
JAM 10.00 PAGI,
BERTEMPAT DI DEWAN AGONG TUANKU CANSELOR,
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA, SHAH ALAM, SELANGOR.
---------------------------------------------------------------------------------------------
1. Alhamdulillah,
syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin-Nya jua kita
dapat berkumpul pada pagi ini, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk
Universiti Teknologi MARA, sebuah institusi simbol serta perlambangan kepada
perjuangan Melayu dan Bumiputera yang tiada pernah hentinya.
2. Terlebih
dahulu, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah
menunjang, mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional pada Pilihanraya
Umum Ke-13... untuk terus menerajui kepimpinan negara. Apa yang lebih
mengharukan adalah, UMNO sebagai parti tonggak kepada Barisan Nasional, telah
berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88.
3. Ini
membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun tohmahan, Kepimpinan
Transformatif UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain
terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan
rakyat, bagi tempoh 5 tahun akan datang,.... demi meneruskan agenda Melayu dan
Bumiputera di tanah air tercinta ini.
4. Setelah
selesai Pilihanraya Umum yang lalu, kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai
keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera,
tentang nasib, masa depan dan halatuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi
tanah tumpah darah kita.
5. Sememangnya,
kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut
nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan......, Yes... indeed!!!... we
hear you... we hear you loud and clear.
6. Sejak
negara mencapai kemerdekaan, tanggal 31 haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah
hidup dalam keharmonian, bersatu padu, membina negara. Pada 16 haribulan
September 1963, Sabah dan Sarawak pula bergabung bagi membentuk Malaysia.
Alhamdulillah, penyatuan ini, membawa sejuta rahmat kepada kita. Lusa, dengan
izin Tuhan jua, kita akan menyambut genapnya lima puluh tahun, perayaan jubli
emas Malaysia, yang InsyaAllah akan saya hadiri di Bandaraya Kuching dan Kota
Kinabalu.
7. Menyonsong
populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus
penduduk. Orang Melayu terdiri daripada sembilan suku kaum utama, orang asli
pula terbahagi kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala
di Sarawak terdapat sejumlah 60 etnik.
8. Semasa
Perhimpunan Agong UMNO Tahun 2010, saya sebut bahawa Jawa itu Melayu, Bugis itu
Melayu, Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, keturunan Acheh
adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli adalah Melayu, Arab dan Pakistani semua
juga kira Melayu, malah muallaf bertakrif Melayu, waima.... Mamak dan Malabari
pun....... dah serap ke Melayu.
9. Banci
Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam
berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula, 7.6 peratus
bilangan daripada rakyat keseluruhannya.Unjuran terkini, setakat 2012,
menganggarkan warganegara Malaysia, adalah seramai 27.4 juta orang, yang mana
Bumiputera adalah 18.6 juta atau 67.9 peratus.
10. Sejak
Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak
Kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk
tersebut. Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai
sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia,
seperti mana dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara kita terdahulu, dilindungi, dan dimaktubkan dalam
Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153, Perkara 160 kurungan 2, Perkara
161A kurungan 6 sub kurungan a. Juga Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan b.
11. Makanya,
Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya,
sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambilkira atau mengabaikan
agenda Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama.
12. Perkara
ini sangat mustahak untuk difahami dengan baik-baik oleh semua pihak bahawa
kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai
Agenda Nasional. Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak
dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan
mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi
negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020.
13. Hatta,
sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak
Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera,
bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil
daripada pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah
dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui
penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
14. Tawarikh
dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal
memainkan peranan pro-aktif sebagai pengimbang sosioekonomi secara adil dan
saksama, antara mereka yang memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan
pekerja, antara tuan punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan
kolar biru, telah dan sedang membawa malapetaka.
15. Jika
dihimbau kembali, Dasar Ekonomi Baru yakni DEB telah diperkenalkan pada tahun
1971, oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Ayahanda saya, untuk menangani isu
ketidakseimbangan sosioekonomi antara etnik dan pembasmian kemiskinan berikutan
tragedi 13 Mei 1969.
16. Begitulah
Dasar Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga 1990.
Semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula, sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3
Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.
17. Dasar
Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun
2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010.
Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa
membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk
mencapai Wawasan 2020 kelak.
18. Sejak
merdeka, Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi demi Melayu
dan Bumiputera, antaranya, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA,
FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR. Perdana
Menteri Ketiga yakni, Tun Hussein Onn pula telah menubuhkan Permodalan Nasional
Berhad dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional.
19. Seperti
yang kita maklumi juga, kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh
Perdana Menteri Keempat, yakni Tun Dr. Mahathir melalui Dasar Penswastaan dan
Wawasan 2020, yang menjadi landasan perjalanan negara kini. Perdana Menteri
Kelima pula, Tun Abdullah telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan
pembangunan ekonomi wilayah.
20. Sejak
saya mengambil alih pentadbiran negara, Kerajaan telah melancarkan Model Baru
Ekonomi, yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju
berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang saksama, menyaksikan masyarakat
Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain pabila fajar negara maju
menyinsing kira-kira tujuh tahun lagi.
21.
Selain itu, secara dasarnya, Model Baru Ekonomi memperkenalkan pendekatan
pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip pertumbuhan dengan kesaksamaan
atau growth with equity, bagi mempastikan semua masyarakat di Malaysia
memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi dan kekayaan negara.
22. Manakala,
Rancangan Malaysia Kesepuluh, bermula pada tahun 2011 yang lalu hingga 2015
nanti, bertujuan untuk menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat
Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat
sama dalam semua aktiviti ekonomi. Ini, adalah berasaskan kepada prinsip mesra
pasaran, berasaskan keperluan, telus dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi
yang kita maksudkan di sini adalah persaingan dalam kalangan Bumiputera.
23. Kerajaan
juga telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan dan Program
Transformasi Ekonomi bagi membentuk satu ekosistem pembangunan ekonomi negara
yang teguh dan berdaya tahan. Hasil pelaksanaan program transformasi,
pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi
ekonomi global tidak menentu. Pada tahun 2011 dan 2012, kadar pertumbuhan
ekonomi negara berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus.
24. Apa
yang ingin saya tegaskan di sini, pertumbuhan secara berterusan begini, adalah
amat penting, kerana, pertama, dengan adanya pertumbuhan, barulah kita dapat
mengagihkan kekayaan negara kepada seluruh rakyat Malaysia.
25. Melalui
perancangan ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera telah
meningkat. Misalnya, pendapatan purata bulanan isirumah Bumiputera telah naik
daripada 172 ringgit pada tahun 1970an kepada 4,457 ringgit pada tahun 2012
atau hampir 2,500 peratus dalam jangkamasa 42 tahun.
26. Kadar
kemiskinan Bumiputera pula, telah berkurangan daripada 64.8 peratus dalam tahun
1970an kepada 2.2 peratus pada tahun 2012. Pemilikan ekuiti syarikat korporat
Bumiputera juga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus dalam tahun 1970an
kepada 23.5 peratus pada tahun 2011.
27. Selain
itu, kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu, bilangan tenaga kerja
Bumiputera dalam kategori profesional, terutamanya golongan bertauliah seperti
doktor-doktor perubatan, para jurutera dan para peguam sudah menghampiri
peratusan komposisi kaum.
28. Ini
membuktikan, Dasar Ekonomi Baru, sebagai langkah awal telah berjaya menangani
jurang antara kaum dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat Bumiputera.
Jelasnya, sepanjang lebih 4 dekad, masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa
Pertama Transformasi.
29. Namun
begitu, Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujudnya jurang ketaksamaan
pendapatan antara etnik. Sebagai contoh, pada tahun 2012, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih
tinggi berbanding Bumiputera pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.
30. Dalam
konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum mencapai
sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. Effective control kita ke atas syarikat
korporat terkini hanyalah pada sekitar 10 peratus. Kerajaan juga faham bahawa
penglibatan masyarakat Bumiputera dalam aktiviti keusahawanan masih tidak
signifikan dan majoritinya hanya berada pada tahap usahawan kecil dan mikro.
31. Lantaran
yang demikian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan....... atas sokongan dan dokongan yang
diberikan oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera, pada Pilihanraya Umum Ke-13
baru-baru ini...., maka, .... pada hari ini........, Kerajaan memutuskan untuk
membuat satu anjakan besar bagi melaksanakan strategi-strategi serta
pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas.
32. Perjumpaan
penuh bermakna dan bersejarah ini, kita namakan sebagai Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.
Segalanya ini, kita perbuat, demi membela untung nasib orang-orang Melayu dan
Masyarakat Bumiputera, dari dulu, kini dan selama-lamanya........ Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini memberi
fokus kepada lima strategi utama.
Fokus
Pemerkasaan Pertama : MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
33. Seperti
kita maklumi, modal insan merupakan aspek terpenting dalam membangunkan
sesebuah masyarakat. Kerajaan sebenarnya telah berjaya menempatkan secara
signifikan pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam dalam negeri
dan luar negara. Oleh itu, fasa seterusnya adalah pemerkasaan modal insan
Bumiputera yang menjurus kepada pemadanan kelayakan dan kemahiran tenaga kerja
dengan keperluan pasaran.
34. Untuk
tujuan itu, pertamanya, bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik
dan tahap kemahiran, Kerajaan akan memperbanyakkan program peningkatan
kemahiran bagi menyediakan peluang kedua supaya mereka memperoleh lebih banyak
ruang untuk mendapat pekerjaan.
35. Dalam
aspek ini juga, program re-skilling akan dipergiatkan. Untuk tujuan itu,
peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA bagi memperoleh peralatan
berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan. Manakala bilangan
program latihan yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara juga
akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan latihan dua syif.
36. Kedua,
kepada golongan graduan Bumiputera yang mengganggur pula, Kerajaan akan
menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran, agar
bersesuaian dengan keperluan industri. Untuk tujuan tersebut, program-program
seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate Employability Management Scheme dan
Program Peneraju Skil akan diperluaskan untuk menambah bilangan penerima
faedah.
37. Ketiganya,
bagi menambah bilangan Bumiputera berkelulusan tinggi, agensi berkaitan seperti
Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan memperluaskan Program Pendidikan
Lepasan Ijazah bagi memenuhi keperluan pasaran terutamanya dalam bidang-bidang
kritikal dan berteknologi tinggi.
38. Keempat,
dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera, Program Peneraju
Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera serta
program-program seumpamanya akan diperluaskan. Ini akan membantu mereka
memperoleh pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan bertauliah,
terutamanya dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, doktor pakar,
arkitek, jurutera dan ahli sains aktuari.
Fokus
Pemerkasaan Kedua : MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR
KORPORAT
39. Sehingga
kini, had maksimum bagi setiap individu dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera
adalah sebanyak 200 ribu ringgit. Justeru, bagi menggalakkan penyertaan,
terutamanya golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham, sukacita saya
mengumumkan Skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 akan dilancarkan oleh
Permodalan Nasional Berhad, dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit saham.
40. Ekuinas
pula akan diberi tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju
program Skim Jejak Jaya Bumiputera. Program tersebut akan ditransformasikan
melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan, bagi membimbing syarikat-syarikat
Bumiputera supaya dapat disenaraikan di Bursa Malaysia.
Fokus
Pemerkasaan Ketiga : MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA
41. Bumiputera
masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah
kediaman, premis industri dan kompleks komersial. Sebagai contoh, dalam tahun
2012, transaksi rumah kediaman yang direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah
Negara, menunjukkan hanya 36.3 peratus transaksi rumah kediaman melibatkan
Bumiputera dengan nilainya hampir 18 bilion ringgit atau 26 peratus.
42. Pada
sudut lain pula, banyak aset bukan kewangan seperti hartanah dalam kalangan
masyarakat Bumiputera Islam, yang tidak diuruskan secara teratur atau terbiar
menyebabkan nilai aset berkenaan menjadi rendah. Justeru, bagi mengoptimakan
nilai dan manfaat aset berkenaan, sebagai permulaan, Yayasan Wakaf Malaysia akan
diperkemaskan, untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat.
43. Peranan
institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad, Majlis Amanah
Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad
akan diperkukuhkan bagi membangun atau memperoleh hartanah komersil dan
industri, terutamanya di lokasi strategik di seluruh negara.
44. Di
samping itu, kerajaan menyedari tahap kemampuan masyarakat Bumiputera untuk
memiliki rumah adalah rendah dan ditambah lagi dengan harga pasaran rumah yang
semakin meningkat. Ke arah memperkasakan pemilikan aset hartanah, bagi menjana
kekayaan Bumiputera, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia atau
PR1MA serta Syarikat Perumahan Negara Berhad dan dengan kerjasama
Kerajaan-Kerajaan Negeri, akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik
kepada Bumiputera di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
45. Manakala
menurut perangkaan, 58 peratus daripada 72 peratus penduduk Malaysia yang
menetap di bandar adalah Bumiputera. Namun, Kerajaan tahu, peratusan pemilikan
hartanah Bumiputera di kawasan bandar adalah kecil. Maka, tanpa intervensi
Kerajaan, bagi membetulkan keadaan ini, kedudukan pemilikan hartanah Bumiputera
semakin meruncing.
46. Lantaran
itu, peranan UDA Corporation akan diperkukuhkan untuk membantu membangun
hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan, bangunan
industri dan perdagangan di kawasan bandar.
47. Bersabit
hal ini juga, saya akan mengarahkan GLC dan GLIC yang terlibat dalam perniagaan
hartanah untuk memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera
terutamanya perumahan, rumah kedai dan premis komersial.
Fokus
Pemerkasaan Keempat : MEMPERHEBAT KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA
48. Sebagaimana
kita maklum, perniagaan dan keusahawanan merupakan aktiviti ekonomi terpenting
bagi menjana pendapatan dan kekayaan. Walau bagaimanapun, penglibatan
Bumiputera dalam kegiatan tersebut masih rendah disebabkan terdapat beberapa
kekangan yang dihadapi termasuk teknologi pengeluaran yang lapuk, kekurangan
akses kepada dana dan modal serta pasaran produk yang terhad.
49. Dalam
mengatasi isu akses kepada dana pembiayaan bagi usahawan kecil dan sederhana
pula, peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar
Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB akan diperkuatkan supaya bilangan
usahawan Bumiputera yang menerima akan bertambah, termasuk di Sabah dan
Sarawak.
50. Sehubungan
itu, sukacita saya umumkan, tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar
Malaysia sebanyak 300 juta ringgit untuk tempoh lima tahun. Bilangan sahabat
Amanah Ikhtiar Malaysia, yang majoritinya wanita, disasarkan meningkat daripada
350 ribu kepada 500 ribu orang pada tahun 2015 kelak.
51. Pada
kesempatan ini juga, saya mengumumkan, dana tambahan sejumlah 700 juta ringgit
kepada TEKUN Nasional. Bilangan usahawan TEKUN Nasional juga dijangka akan
meningkat daripada 270 ribu pada tahun 2013, kepada 370 ribu pada tahun 2015.
52. Bagi
menyahut keluhan usahawan yang mengalami kesukaran mendapatkan akses ke
pasaran, maka, kerajaan akan mengarahkan semua Kementerian dan GLC mengukuhkan
sistem pembangunan vendor Bumiputera. Pemilihan vendor mestilah berasaskan
meritokrasi di kalangan Bumiputera. Barulah usahawan Bumiputera dapat dipupuk
menjadi berdaya maju dan mampan.
53. Seiring
dengan itu, saya juga mahukan jangka masa kontrak dan konsesi vendor
disesuaikan dengan tempoh bayaran balik pinjaman bank agar projek mereka dapat
dijalankan dengan lancar.
54. Berkait
dengan pemerkasaan Program Pembangunan Vendor atau VDP, PETRONAS hendaklah
melonjakkan program VDP-nya, bagi mengukuh rantaian bekalan sektor minyak dan
gas. Tenaga Nasional pula dalam sektor tenaga, manakala Telekom Malaysia dan
AXIATA dalam sektor komunikasi, UEM dalam sektor pembinaan serta Sime Darby dan
Felda Global Ventures untuk sektor perladangan.
55. Dengan
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini juga, saya mahukan semua Ketua Pegawai
Eksekutif di GLC menetapkan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera termasuk
perolehan yang dianugerahkan kepada vendor. Ini wajiblah dimasukkan sebagai
Petunjuk Prestasi Utama atau KPI kepada CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif
syarikat masing-masing.
56. Sehubungan
itu, suka saya kongsikan dalam sektor minyak dan gas antara sekarang sehingga
tahun 2017, PETRONAS sedang dan akan menjalankan beberapa projek utama dalam
sektor upstream dan downstream. Melalui projek-projek tersebut, kita
merangkakan supaya syarikat-syarikat Bumiputera mendapat manfaat daripada
kontrak yang bernilai 20 bilion ringgit setiap tahun untuk kerja-kerja
perkhidmatan di sektor upstream dan downstream.
57. Jangka
hayat kemudahan-kemudahan ini selalunya mengambil masa selama 25 tahun atau
lebih. Dianggarkan sekurang-kurangnya 22 skop kerja kritikal bakal diwujudkan
dan dapat memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera.
58. Bagi
menangani isu rantaian perbekalan pula, Kerajaan melalui GLC dan GLIC, akan
membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang akan melibatkan diri dalam
aktiviti berkaitan pembuatan dan perindustrian yang berpotensi dan mempunyai
nilai tambah tinggi. Dalam konteks ini,
GLC dan GLIC akan menerajui usaha untuk mewujudkan beberapa konsortium syarikat
Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat.
59. Program
Penswastaan, secara umumnya, telah berjaya menjadi pemangkin bagi mewujudkan
individu dan syarikat Bumiputera yang berjaya. Oleh itu, untuk merancakkan lagi
program berkenaan, Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS akan mengambil
inisiatif untuk mengenalpasti secara terpilih mana-mana perkhidmatan Kerajaan
yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera.
60. Sebagai
langkah untuk mempastikan peluang syarikat Bumiputera untuk memperoleh kontrak
serta sebagai persediaan untuk bersaing pada masa hadapan pula, dasar Carve-out
akan diperluaskan kepada projek-projek besar lain di bawah kementerian serta
GLC dan GLIC. Dasar ini telah berjaya dilakukan di dalam projek MRT di mana
sebanyak 47 peratus atau 9 bilion ringgit telah dianugerahkan kepada syarikat
Bumiputera terpilih secara meritokrasi.
61. Sebagai
contoh, empat projek tambahan yang telah dikenalpasti untuk menyertai program
ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE
Exhibition Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai
Buloh.
62. Demi
kelangsungan agenda, kita wajar membina satu Komuniti Baru Entrepreneur
Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya saing, daya juang, inovatif dan
berani mengambil risiko. Mereka juga perlu mempunyai minat yang tinggi serta
passionate dalam menyertai bidang-bidang baru berasaskan pengetahuan atau
knowledge based economy seperti teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi
hijau.
63. Untuk
tujuan ini, satu skim pembiayaan baru lagi unik dinamakan sebagai Skim
Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau ringkasnya SUPERB akan
diperkenalkan. Skim ini bertujuan untuk membantu syarikat start-up. Bagi tujuan
itu, dana sebanyak 100 juta ringgit akan diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun.
64.
SUPERB ini akan menyediakan kemudahan geran sehingga 500 ribu ringgit kepada
entrepreneur baru yang kreatif dan inovatif dalam bidang-bidang strategik yang
mempunyai potensi masa hadapan yang besar.
65. Pemilihan
entrepreneur-entrepreneur Bumiputera ini adalah berdasarkan merit dan akan
dibuat oleh sekumpulan panel entrepreneur di kalangan mereka yang telah
berjaya. Di samping itu, entrepreneur baru yang terpilih akan turut mendapat
perkhidmatan mentoring daripada entrepreneur yang sudah berjaya tersebut.
Fokus
Pemerkasaan Kelima : MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
66. Sebagaimana
yang saya sebutkan, Kerajaan mendengar luahan rasa yang dilontarkan oleh
masyarakat Bumiputera berhubung tahap penyertaan dalam program pembangunan
sosioekonomi. Oleh itu, bagi mempastikan agenda pembangunan sosioekonomi
Bumiputera dapat dilaksanakan secara efektif, sistem penyampaian akan
diperkemas dan diperkejap untuk mewujudkan ekosistem yang cekap, komprehensif
dan konstruktif.
67. Untuk
itu, Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan diwujudkan di semua
kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini bertanggungjawab bagi merangka
cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera.
PENUTUP
68. Menjiwai
kepentingan dan perjuangan Bumiputera, saya ingin memetik Tujuh Wasiat, oleh
Sembilan Raja-Raja Melayu, semasa memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk
menubuhkan sebuah Persekutuan.
Bahawasanya:
“Kami
isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan
simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan,
Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah
bersama-sama kaum lain”.
69. Wasiat
ini sangat terang lagi bersuluh. Ia telah menyatakan tentang ekuiti dan
pemilikan orang Melayu dan kemudiannya diperluaskan kepada Bumiputera, melalui
kebersatuan Sabah dan Sarawak pabila Malaysia dibentuk 50 tahun yang lalu.
70. Kendatipun
begitu, bagi pihak Kerajaan, secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua
pihak, agar jangan bersalah sangka atau sesekali bersalah faham, tentang
pemerkasaan ekonomi Bumiputera ini. Sesungguhnya, inisiatif dan haluan besar
ini, kita lakukan bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak
orang lain, mahupun menafikan kepentingan sesiapa.
71. Certainly!...
We are doing what is fair,... we are doing what is right..., and we are doing
what is equitable. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa nawaitu, atau
sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain.
72. Sayugia,
yang tertanam di benak sanubari saya dan kerajaan, adalah hasrat murni untuk
terus gigih mencipta serta menjana kekayaan baru. Semoga nikmat dan
kemakmurannya, dapat diraih serta dirasai oleh semua golongan sebagai rakyat
Malaysia secara adil dan saksama.
73. Bahkan,
kerukunan kita telah diiktiraf pada tangga ke-20 sebagai negara paling stabil
dan aman di dunia..............., Begitulah istimewa dan uniknya Malaysia.
74. Pucuk
pangkalnya, hendak saya pertegaskan bahawa kita adalah kerajaan yang berhemah
lagi bertanggungjawab, ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa mengira apa jua
latar belakang samada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam mahupun bukan
Islam.
75. Kita
juga tidak seperti sesetengah pelaku politik, yang tidak sudah-sudah menyalakan
api perkauman sehingga menggerun dan memesongkan pemikiran rakyat.
76. Suka
tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh dengan sentimen pihak
luar, melalui dalang dan petualang dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik
kepada kita. Sekiranya dibiar dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah
negara bangsa yang berdaulat lagi merdeka pada akhirnya akan musnah dan
membungkam.... Barang dijauhkan oleh Allah jua.....
77. Sebagai
mana di awal ucapan tadi, saya menyatakan kita berhimpun di sini bukan untuk
saja-saja, kita berkumpul di sini bukan untuk suka-suka......... Seperti slogan
yang popular, UiTM Dihatiku.... makanya, Universiti Teknologi MARA ini sangat
dekat di hati kita, sebagai sebuah institusi Bumiputera yang cukup
membanggakan.
78. Bahkan.....,
masih segar lagi dalam ingatan, sewaktu saya berucap sebagai Timbalan Presiden
UMNO, pada Perhimpunan Agung tahun 2005........., saya telah mengumumkan supaya
enrolmen pelajar UiTM ditingkatkan daripada 100,000 kepada 200,000 menjelang tahun 2015. Kini,......
Alhamdulillah, bilangannya sudah pun mencecah 180,000 orang.
79. Pagi
ini pula........., saya ingin mengumumkan hasrat peningkatan enrolmen pelajar
Universiti Teknologi MARA ini kepada 250,000 menjelang tahun 2020. Penambahan
ini juga termasuk penubuhan beberapa lagi kampus baru di seluruh negara.
80. Demi
Melayu......, Demi Bumiputera........, Saya ingin mengumumkan penubuhan Dana
Pendidikan MARA yang berjumlah 1 bilion ringgit bagi membiayai keperluan
program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi. Dana ini berbentuk
Matching Fund nisbah satu kepada satu
antara MARA dan Kerajaan yang disalurkan secara berperingkat.
81. Kita
juga sedar, masyarakat Bumiputera meletakkan harapan yang tinggi kepada TERAJU
bagi menakhoda agenda pembangunan Bumiputera. Kini, untuk membestarikan lagi
TERAJU, sebagai sebuah badan yang unggul, ia akan diletakkan langsung di bawah
saya sendiri sebagai Perdana Menteri, dengan diketuai oleh seorang
............................................
82. Sebagai
memenuhi hasrat kita untuk mewujudkan Komuniti Entrepreneur Bumiputera,
sukacita saya umumkan bahawa Institut Keusahawanan Negara atau INSKEN kini,
akan diletakkan di bawah seliaan TERAJU. Begitulah juga Skim Permulaan
Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB yang baru saya wujudkan tadi.
83. Sebagai
payung dan kemuncak strategi pemerkasaan ini, sebuah council yang dipanggil
Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB akan ditubuhkan bagi menggantikan Majlis
Tindakan Agenda Bumiputera. Majlis Ekonomi Bumiputera ini akan dipengerusikan
sendiri oleh saya dan Timbalan Pengerusinya adalah YAB Timbalan Perdana Menteri
dengan keanggotaan beberapa menteri berkenaan. Keahliannya pula bersifat
kompak, di mana pelbagai badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang releven akan
diundang. Majlis yang penting ini, akan bersidang sekurang-kurangnya sekali
sebulan dan jika perlu lebih dari itu.
84. Maka,
berpasak dan bertunjang dengan Majlis Ekonomi Bumiputera ini....., kepada
orang-orang Melayu dan Bumiputera, usahlah berbimbang-bimbang dan
bergundah-gundah, kerana,...... selagi ada bulan dan bintang,.......... selagi
hayat dikandung badan,............. survival Melayu dan Bumiputera tetap
menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai bila-bila.
85. Akhir
kalam, saya berikrar akan terus beristiqamah memperkasakan ekonomi Melayu dan
Bumiputera. Mudah-mudahan dengan izin dan ketentuan Allah jua, semuanya akan
tercapai.
HIDUP
MELAYU........ HIDUP BUMIPUTERA........ HIDUP MALAYSIA.......
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan