Pemimpin pembangkang antara yang paling HEBAT MEMBELA penjenayah |
Pemangku Raja Perak
Raja Dr Nazrin Shah hari ini bertitah mengingatkan rakyat supaya menolak nilai
songsang yang menyanjung penjenayah sebagai wira dan menganggap tindakan
pasukan keselamatan membanteras jenayah sebagai zalim.
Baginda bertitah jika
diterima, nilai songsang itu akan menggalakkan banyak pihak untuk lebih berani
melakukan jenayah, bersifat riak mencabar pihak berkuasa, bertindak ganas serta
terus melakukan jenayah menurutkan hawa nafsu.
"Para penjenayah
jangan sama sekali dilindungi, jauh sekali daripada diiktiraf sebagai
wira," titah baginda pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu
Perak ke-184 di sini, hari ini.
Sebaliknya, titah
baginda moral anggota polis yang menegakkan keamanan, berkorban nyawa dan
keselamatan diri wajib dipertahankan dan diberi sokongan padu oleh setiap
rakyat yang mahukan keamanan. Raja Nazrin bertitah berdasarkan laporan akhbar,
kejadian jenayah berat terutamanya jenayah bunuh semakin menjadi-jadi di negara
ini.
"Jenayah bunuh
bukan sahaja dilaporkan semakin sering berlaku malah dilakukan secara ganas, kejam dan
mengerikan hingga ke peringkat berlakunya kes pembunuhan di hadapan ibu tua,
anak kecil dan dalam rumah ibadat," titah baginda.
Baginda bertitah
perbuatan sekejam, seganas dan ngeri sedemikian, seolah-olah memperlihatkan
sifat angkuh pihak tertentu mahu mencabar undang-undang negara serta melakukan
provokasi mencabar penguatkuasa undang-undang.
"Jenayah akan
berleluasa jika penjenayah beranggapan pihak berkuasa kurang tegas
menguatkuasakan undang-undang. Jenayah semakin berani dilakukan jika penjenayah
beranggapan bahawa mereka begitu mudah terlepas daripada tangkapan, mudah bebas
daripada dakwaan dan jika disabitkan, sekadar dijatuhkan hukuman yang
ringan," titah baginda.
Baginda bertitah oleh
itu, usaha membanteras jenayah hendaklah dijayakan secara kolektif di mana
rakyat perlu turut sama memainkan peranan membantu polis.
"Jawatankuasa
masjid dan surau serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung perlu
tampil membantu polis dalam tugas-tugas kawalan serta menyampaikan maklumat
keselamatan dan perlakuan jenayah kepada pihak polis dari semasa ke semasa.
"Dalam
kawasan-kawasan yang dianggap kritikal, program pengawalan oleh pihak awam
mungkin perlu difikirkan dan diperkenalkan, agar tugas polis dapat
diringankan," titah baginda.
Baginda juga
menegaskan bahawa jenayah tidak boleh dikaitkan dengan faktor kaum atau motif
politik kepartian.
"Penjenayah
adalah penjenayah, penjenayah harus dilihat dari lensa sedemikian," titah
baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan