Penyanyi Shila Amzah
lebih bersikap terbuka untuk berkongsi kisah cinta lalunya dengan Sharnaaz
Ahmad apabila menghasilkan lagu mengenai hubungan mereka itu. Shila atau nama
sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 23, berkata, perjalanan dalam dirinya
diibaratkan seperti sebuah diari dan tidak salah untuk dia berkongsi kisah
tersebut dengan peminat.
“Saya akui ada
beberapa lagu saya tulis tentang hubungan saya dengan Sharnaaz dan rasanya
tidak salah jika saya bersikap terbuka mengenai perkara itu untuk dikongsi
bersama para peminat tentang apa yang saya lalui ketika itu,” katanya.
Album yang diberi
nama Shila Amzah itu bakal memuatkan sembilan buah lagu termasuk dua buah lagu
bonus iaitu Patah Seribu versi Bahasa Malaysia dan Mandarin. Ia akan dipasarkan
penghujung September ini.
Dalam perkembangan
sama, Shila berkata, kesemua lagu dalam album tersebut bukanlah melambangkan
perasaannya ketika ini selain mengakui telah melupakan semua kejadian buruk
yang pernah berlaku dalam dirinya.
Tambah Shila, album
berkenaan tidak sahaja berkisar mengenai dunia percintaan tetapi juga kisah
gembiranya sebagai seorang wanita yang sedang berusaha mengejar kejayaan.
“Apa yang terkandung
dalam album tersebut tidak melambangkan situasi dan perasaan saya sekarang dan
ia hanya sebagai luahan dan ekspresi tentang perjalanan hidup saya,” jelasnya
yang mempertaruhkan ‘single’
berjudul Masih Aku Cinta dari album
terbaharunya itu.
Sementara itu, Shila
berkata dia kini lebih matang dalam menguruskan hidup dan bersyukur sentiasa
dikelilingi oleh individu-individu yang sentiasa mengambil berat tentang
dirinya. Malah pemergiannya ke Shanghai, China mempunyai hikmah yang besar
kerana dia banyak bermuhasabah diri dalam memperbaiki masalah yang melanda
hidupnya.
“Sebelum ini saya
terlalu mengehadkan terhadap sesuatu perkara yang ingin saya lakukan tetapi
kini saya membuka ruang kepada diri dengan lebih luas dan saya gembira dengan
hala tuju hidup saya sekarang,” ujar Shila.
Dalam perkembangan
lain, Shila bakal kembali ke Shanghai pada Sabtu ini untuk menyiapkan album
berbahasa Mandarin selain beberapa projek lain yang telah diaturkan oleh pihak
pengurusan di negara itu. Bagaimanapun kata Shila, dia akan pulang ke tanah air
pada penghujung September ini untuk melancarkan album terbarunya selain bakal
mengadakan sebuah persembahan pada hari yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan