30 September 2013

Hentikan Campur Tangan Dalam Pemilihan Wanita




Semakin hari, bahang pemilihan UMNO semakin terasa. Rata-rata yang telah menawarkan diri telah mula ‘berkempen’ mengikut cara dan kemampuan yang tersendiri. Ada yang menggunakan kaedah dan cara lama dengan mengedarkan ‘kad nama’ yang tertera dengan nombor calon. Malah tidak ketinggalan ada di kalangan mereka yang mula menggunakan cara dan pendekatan terkini dengan berkempen menggunakan media-media sosial seperti Facebook, Twitter, Instigram dan sebagainya.

Walaupun apa pun cara yang digunakan masing-masing sudah pasti mengharapkan agar kemenangan berpihak kepada mereka. Namun begitu, pada ketika ini sudah mula kedengaran bisik-bisik di kalangan perwakilan Umno agar memilih calon-calon tertentu dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.

Sebagai contoh, kempen Pergerakan Wanita Umno Malaysia dikatakan telah mula menerima ‘arahan’ agar perwakilan Wanita memilih ‘calon favorite’ yang mendapat restu ‘pemimpin atasan’. Tambah menarik, ‘arahan’ tersebut dikatakan turut mendapat ‘restu dan perkenan’ dari Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut sumber yang diperoleh, satu pengundian sulit telah diadakan di kediaman Sharizat di Jalan Setia Kasih baru-baru ini bagi ‘memilih’ calon untuk mengisi kekosongan jawatan Naib Ketua Wanita. Malah satu usaha juga dikatakan sedang sibuk dijalankan agar pendekatan ‘kompromi’ dapat digunakan antara Exco Wanita UMNO, Datuk Suraya Yaacob dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun.


Menurut sumber tersebut, Shahrizat dikatakan mahu memastikan agar Azizah diberi laluan mudah bagi mengisi kekosongan tersebut berbanding Suraya. Namun yang menjadi persoalannya ialah, mengapa Shahrizat perlu untuk campur tangan dalam perkara tersebut?

Sedangkan akhbar Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Suraya telahpun mendapat ‘restu’ daripada Shahrizat sebelum membuat pengumuman bagi menawarkan diri. Oleh itu adalah tidak adil buat Suraya, sekiranya Shahrizat campur tangan bagi memenangkan calon tertentu.

Suka atau tidak, Shahrizat perlu sedar, putaran kepimpinan tidak boleh dibiarkan berhenti di satu tempat. Ia bagi memastikan Wanita Umno khasnya dan parti amnya dapat terus bergerak dinamik dan segar. Cepat atau lambat, kepimpinan tetap akan bertukar tangan kepada generasi baharu atau orang muda.

Malah ketika dirinya diselubungi dengan pelbagai isu dan kontroversi yang mencalarkan imej Wanita, majoriti ahli dan kepimpinan di peringkat cawangan dan bahagian tetap berdiri di belakangnya bagi menyatakan sokongan. Malah ramai yang melihat sokongan tersebut sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan Shahrizat terhadap pergerakan Wanita Umno selama ini.

Oleh itu, adalah sangat tidak wajar untuk Shahrizat mendahulukan kepentingan peribadinya berbanding memperkasakan parti. Sekiranya beliau benar-benar ikhlas, biarkan semua calon yang bertanding dipilih seadil-adilnya tanpa sebarang campur tangan.

Biarlah perwakilan Wanita menentukan siapakah yang benar-benar layak untuk mengalas tugas sebagai orang no 2, di dalam Wanita.

Pada hari penyerahan borang pencalonan pemilihan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu lalu, seramai tiga pemimpin Wanita hadir bagi menawarkan diri bagi jawatan Naib Ketua yang kosong ekoran tindakan Datuk Kamilia Ibrahim bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu.

Namun Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman ‘tiba-tiba’ membuat keputusan yang mengejut apabila menarik diri pada saat akhir daripada bertanding jawatan tersebut.

Ketika ditemui pihak media, Hamidah menjelaskan beliau membuat keputusan itu selepas berfikir panjang tentang cara terbaik bagi memberi sumbangan kepada parti dan berhasrat untuk memberikan tumpuan pada pertandingan dalam Majlis Tertinggi (MT).

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /