07 September 2013

Pelakon Wan Nor Azlin Mahu Ayah Kandung Di Penjara




Macam-macam yang berlaku di dunia akhir zaman ini. Anak mahu ayah dipenjara, ayah dera anak, suami pukul terajang isteri dan macam-macam lagilah. Memang pening kepala dibuatnya. Terbaru, Wan Nor Azlin, pelakon yang pernah popular dengan video terlarang satu ketika dahulu mahukan ayahnya tunjuk sebab mengapa tidak boleh dipenjara.

Namun pasti ada sebab mengapa Wan Nor Azlin mengambil langkah sebegini. Kes yang bermula sejak tahun 2008 ini adalah kerana isu penjualan sebuah rumah di Taman Keramat. Rumah tersebut ingin dijual oleh ayah Wan Nor Azlin tetapi Wan Nor Azlin enggan mengosongkan rumah tersebut.


Terdahulu Wan Nor Azlin memohon Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan tuntutan saman difailkan oleh bapanya bagi mendapatkan perintah pengosongan sebuah rumah di Taman Sri Keramat yang merupakan harta sepencarian bersama arwah ibunya.

Wan Mohd. Husain Wan Ibrahim, 76, telah memfailkan saman terhadap Wan Nor Azlin, 45, pada 5 Februari lalu dengan mendakwa, anaknya itu menghalangnya menjual hartanah dan enggan keluar dari rumah tersebut.

Wan Nor Azlin yang pernah menggondol trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Sri Angkasa 2001 menerusi drama Takbir Untuk Abdah itu pula, telah memfailkan permohonan pada 20 Mac lalu untuk mengetepikan saman berkenaan.

Ini kerana pelakon itu yang diwakili peguam Nuraini Atiqah Abdul Aziz menyatakan, mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa ke atasnya memandangkan terdapat perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) daripada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam berhubung tuntutan bapanya itu.

Nuraini Atiqah memberitahu pemberita, Hakim Rosilah Yop menetapkan 31 Mei ini untuk memutuskan permohonan Wan Nor Azlin yang dinamakan sebagai pihak defendan. Menurut beliau, tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes hari ini dengan kehadiran peguam Razila Rashid mewakili Wan Mohd. Husain selaku pihak plaintif.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, dia telah mengajak defendan tinggal bersama selepas isterinya meninggal dunia dan sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah meminta anaknya itu membuat sebarang bayaran bil utiliti atau sewa bulanan.

Pada pertengahan 2011, plaintif memberitahu defendan yang dia ingin menjual rumah tersebut dan mahu hartanah itu dikosongkan tetapi defendan enggan keluar dengan alasan telah memasang kabinet dapur dan almari pakaian. Wan Mohd. Husain mendakwa, anaknya turut mengoyakkan iklan yang ditampal dan mengganggu bakal pembeli yang datang melihat rumah itu.

Pelakon itu juga dakwa bapanya, telah memasukkan kaveat (sekatan) persendirian pertama pada 12 Oktober 2011. Menurut plaintif, dia kemudian telah menandatangani satu perjanjian jual beli dengan pihak ketiga pada 31 Oktober 2012.

Namun sehingga hari ini, dakwa plaintif, Wan Nor Azlin enggan mematuhi surat tuntutan yang dikeluarkan pada 30 Disember 2012 dan masih menduduki hartanah tersebut. Plaintif menyatakan, defendan pada 16 Januari 2013 telah mengarahkan supaya kaveat persendirian bagi kali kedua dimasukkan walhal anaknya itu tiada locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk berbuat demikian.

Tindakan defendan itu menurut plaintif telah menyebabkan dia tidak menikmati hak sebagai pemilik berdaftar dan mengalami kerugian selain terpaksa menanggung kos pemotongan kaveat. Plaintif mendakwa, anaknya turut menghalangnya tinggal di rumah teres satu tingkat itu misalnya dengan menukar kunci pintu utama dan membuang kelengkapan sedia ada.

Disebabkan berasa keselamatannya terancam, menurut plaintif, dia telah membuat laporan polis pada 31 Mac tahun lalu akibat trauma setelah mendakwa dimarahi dan dipukul sehingga terpaksa menyewa rumah lain. Plaintif sehubungan itu antaranya memohon perintah untuk mendapatkan milikan kosong ke atas hartanah dan membatalkan kaveat persendirian oleh anaknya itu serta ganti rugi.

Wan Nor Azlin merupakan ibu kepada tiga anak, Danial Luqman, 12, Danny Iskandar, 11, dan Dania Camelia, 8, hasil perkongsian hidupnya dengan peguam, Mohd. Yazli Yaakob.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /