Tindakan 'suka-suka' sekumpulan pelajar
perempuan tingkatan 4 di sebuah sekolah menengah di Bukit Beruntung bermain 'Spirit of the Coin' pagi Jumaat minggu
lalu berakhir dengan musibah apabila 108 pelajar termasuk tiga guru diserang
histeria secara berperingkat.
Kejadian tersebut
pada mulanya hanya melibatkan lapan pelajar perempuan sesi pagi (tingkatan 3
dan 5) pada Jumaat lepas, namun semakin melarat apabila ia berjangkit kepada 26
pelajar sesi pagi hari Isnin, diikuti 23 pelajar sesi petang (peralihan,
tingkatan 1, 2, 4) pada Selasa dan 12 pelajar sesi petang hari Rabu.
Keadaan bertambah
serius semalam apabila 35 lagi seperti dirasuk, kali ini turut membabitkan tiga
guru wanita yang cuba merawat mangsa dan seorang pelajar lelaki.
Calit
darah pada dinding tandas
Salah seorang
pelajar, Nurul, 16, berkata, segala-galanya bermula apabila kumpulan pelajar
perempuan berkenaan bermain permainan pemujaan roh yang dikenali sebagai Spirit of the Coin dalam sebuah kelas
tingkatan 4 di tingkat satu bangunan sekolah berkenaan dipercayai pada awal
pagi.
"Tapi saya tak
pasti di mana mulanya sebab sedar-sedar ramai budak perempuan mula
menjerit," katanya.
Bagaimanapun menurut
Nurul, apa yang dia tahu, pelajar pertama diserang histeria baru pertama kali
mencuba permainan yang turut dikenali sebagai Ouija Board itu.
Seorang lagi pelajar
dikenali sebagai Ira, 17, berkata, dia juga mendapat tahu daripada salah
seorang rakannya bahawa beberapa pelajar yang mengikuti kelas tambahan di situ
memang bercadang mencuba permainan tersebut pada Khamis malam 29 Ogos lalu.
"Saya tak tau cerita asal, tapi itu yang diberitahu seorang kawan. Mereka main sampai satu tahap bergerak dari kelas itu menuju ke tandas perempuan. Lepas tu lukakan jari sendiri dengan pisau dan calit darah pada dinding tandas.
"Mungkin itulah agaknya punca gangguan histeria ini," katanya.
Bukan pertama kali
Dalam pada itu, sekumpulan pelajar yang ditemui berkata, kejadian pagi semalam cuba dikawal dengan bacaan surah Yasin oleh pelajar perempuan dan laungan azan daripada pelajar lelaki.
“Pelajar perempuan duduk dalam satu bulatan membaca surah Yasin, manakala pelajar lelaki buat satu lagi bulatan sambil melaungkan azan. Lepas tu, satu demi satu pelajar terkena histeria dimasukkan dalam dua bulatan itu, tapi macam tak berkesan kerana semakin ramai yang kena.
“Paling mengejutkan apabila tiga guru wanita pun terkena histeria. Kami tak pernah dengar lagi cerita cikgu turut terkena," kata mereka yang mengakui kejadian berkenaan bukan pertama kali berlaku.
Pada tahun 2010 pernah berlaku kejadian yang sama melibatkan dua hingga lima pelajar diserang histeria dan ia berlarutan selama sebulan.
"Lepas tu senyap saja sampailah berlaku kejadian ini," kata mereka lagi.
Pelajar sesi petang direhatkan
Sementara itu, sebagai langkah pencegahan, Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Selangor memutuskan untuk merehatkan pelajar sesi petang (Tingkatan 1, 2 dan Peralihan) dan tingkatan 4 bermula semalam dan hari ini.
Bagaimanapun, pelajar tingkatan 3 dan 5 bersekolah seperti biasa kerana mereka perlu menjalani ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dalam pada itu, Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) di bawah Majlis Daerah Hulu Selangor yang sedang menjalankan Program Tangani Histeria di Sabak Bernam turut berkunjung ke sekolah tersebut semalam bagi menangani masalah berkenaan.
Difahamkan, keputusan merehatkan pelajar hanya sebagai langkah pencegahan awal, namun jika berterusan pada sesi sekolah Isnin depan, kaedah lain pula akan digunakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan