14 September 2013

Anak Lega Bila Tahu Ibu Dah Mati




Jika orang lain sedih kerana kematian ibu, seorang lelaki di Reno pula menyanyi kegirangan dan menulis obituari yang kejam untuk memperingati wanita itu. Patrick Reddick, 58, berkata, dia tersenyum dan berasa sangat lega apabila mendapat tahu ibunya, Marianne Theresa Johnson-Reddick, 78, meninggal dunia pada 30 Ogos lalu. Ketika terlantar di katil hospital di hari-hari terakhir hidup Marianne, Reddick pergi melawat ibunya.

Bagaimanapun, sebelum tiba dia meminta doktor memberikan ubat pelali kepada wanita terbabit dan dia pula berkaca mata mengelak daripada dikenali ibunya. Kata Reddick, apabila menyedari bahawa ibunya sudah tiada lagi di dunia ini, dia dapat tidur dengan lena kerana ketakutannya selama ini benar-benar berakhir.


Reddick dan adik-adiknya mendakwa menjadi mangsa deraan dan teruk diseksa Marianne satu ketika dulu. Kini mereka bercadang untuk meraikan kematian wanita itu akhir bulan ini. Bersama adiknya, Katherine, 57, Reddick menempah obituari di akhbar dan disiarkan Reno Gazette-Journal pada 10 September lalu.

Penggunaan kata-kata kesat itu mendapat perhatian ramai dan beredar di Internet. Reddick dan Katherine mendakwa sering dipukul Marianne selain dipaksa tidur di atas lantai ketika dia sibuk menjalankan bisnes pelacuran di rumah. “Kami adik-beradik diburu ketakutan sejak detik kami dilahirkan,” katanya.

Obituari yang ditulis untuk Marianne antaranya berbunyi: “Ibu menghabiskan hidupnya dengan menyeksa kami selagi dia mampu. Dia tidak mempedulikan suami dan anak-anaknya, malah enggan membenarkan orang lain bersimpati atau membantu mereka.

“Apabila kami dewasa, dia mengintip dan menyeksa sesiapa saja yang kami sayangi. Setiap orang yang bertemu dengannya sama ada dewasa atau kanak-kanak diseksa dengan kejam dan mereka turut menjadi mangsa keganasan, kekerasan dan kebencian. “Kini kami dapat hidup dengan aman setelah mengetahui bahawa mimpi ngeri kami berakhir.”

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /