13 September 2013

Sudah Pinjam Tolong Pulangkan - Pas Bagan Serai




Pas kawasan Bagan Serai sebulat suara menuntut PKR ‘memulangkan’ semula kerusi Parlimen Bagan Serai dan Dun Alor Pongsu yang ‘dipinjamkan’ pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu.

Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Bagan Serai, Ramli Tusin berkata, tuntutan itu dikemukakan tiga cawangan parti itu iaitu dari Masjid Tinggi, Parit Haji Ali dan Parit Haji Taib dalam Mesyuarat Agung Pas cawangan serta dipersetujui untuk dibahaskan pada Muktamar Pas dijangka diadakan pada November hadapan.

Menurutnya, alasan utama usul bahas itu diterima bagi menyedarkan Pas Pusat bahawa punca sebenar kekalahan PR di dua kerusi itu disebabkan undi protes penyokong PR yang kecewa dengan masalah dalaman melanda PKR Cabang Bagan Serai.

“Pas kawasan akan berusaha membawa usul ini pada persidangan Muktamar Pas kelak memandangkan perkara ini penting dalam usaha merampas kembali kerusi Parlimen Bagan Serai dari tangan BN.

“Kami juga berharap Pas Pusat turut mempertimbangkan tuntutan kerusi Dun Alor Pongsu memandangkan rata-rata pengundi kecewa dengan calon ditampilkan PKR sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Khidmat Dun Gunung Semanggol dan Dun Selinsing serta Rumah Terbuka Aidilfitri Pas kawasan Bagan Serai, kelmarin.

Hadir sama, Adun Selinsing merangkap Timbalan YDP Pas kawasan Bagan Serai, Husin Din, dan Adun Gunung Semanggol merangkap Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Zawawi Abu Hassan.

Katanya, sejak PRU-13 berakhir, PKR negeri dan PKR cabang Bagan Serai masih gagal menemui Pas kawasan bagi membincangkan perancangan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /