Umno Kedah
mencadangkan supaya calon- calon di semua peringkat dalam pemilihan parti itu
bulan depan diberi peluang dan ruang berjumpa serta memperkenalkan diri dengan
perwakilan kerana tidak semua daripada mereka dikenali.
Pengerusinya, Datuk
Mukhriz Mahathir berkata, terdapat rungutan dan aduan daripada calon-calon mengenai
tataetika pemilihan parti kali ini yang dilihat agak mengongkong serta menyekat
pergerakan mereka untuk memperkenalkan diri.
Kata beliau, pihaknya
memahami tataetika itu bertujuan memastikan tiada sebarang perkara yang boleh
memudaratkan parti tersebut tetapi pada masa sama sangat penting untuk setiap
calon diberi peluang bertemu perwakilan dan memperkenalkan diri.
"Tidak semua
daripada mereka mendapat faedah daripada liputan media yang meluas. Ramai dalam
kalangan calon tidak dikenali.
"Calon-calon
baharu ini tampil ke depan kerana ada sesuatu yang hendak disumbangkan kepada
parti, mereka juga ada kelebihan tertentu," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas peringkat negeri di
Alor Biak, di sini hari ini.
Mukhriz berkata,
beliau bimbang dengan tataetika pemilihan UMNO yang dikeluarkan baru-baru ini
boleh memberi kekangan di peringkat badan perhubungan negeri untuk mengatur
lebih banyak program atau majlis perjumpaan calon dengan perwakilan.
Berikutan itu,
pihaknya berharap urusetia dan pengurusan UMNO mempertimbangkan agar
calon-calon dibenarkan berjumpa perwakilan dengan syarat mereka memaklumkan
kepada pejabat perhubungan UMNO negeri bagi memantau perjalanan majlis supaya
tidak berlaku perkara yang melanggar tataetika pemilihan.
"Kelonggaran itu
memberi ruang dan peluang kepada semua calon bergerak dan berjumpa dengan
perwakilan tanpa rasa bimbang dikenakan tindakan disiplin atau digugur
kelayakan bertanding selain dapat membantu perwakilan menilai sendiri semua
calon," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan