29 September 2013

Eksklusifnya Anak Farid Kamil




Sekalipun mungkin mereka berkrisis, rata-rata masyarakat menganggap perbuatan Farid Kamil menghalang ibu mertuanya, Norsiah Ramli melawat isterinya, Diana Danielle selepas melahirkan anak mereka yang dikenali sebagai Muhammad sebagai satu tindakan yang kurang wajar.

Dilihat kejam dan tidak rasional, ramai menganggap sebagai menantu, Farid sepatutnya menghormati Norsiah. Lebih-lebih lagi kerana Diana amat rapat dengan ibunya sebelum mereka mendirikan rumahtangga.

Pun begitu, Farid pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia mahu menjernihkan hubungan dengan ibu mertuanya itu. Hal itu termasuk melupakan segala kenyataan-kenyataan bersifat amarah yang pernah dikeluarkannya (menyentuh isu tentang Norsiah) di laman sosial Twitter.


Sejauh mana usaha Farid?

"Saya berusaha untuk berbaik dengan ibu mertua. Takkanlah saya nak halang mereka bertemu. Lagipun dia ibu mertua saya. Saya tahu ramai yang tanya bila Diana dan ibunya akan bertemu.

"Saya akan aturkan sempena penganjuran majlis akikah anak saya nanti. Setakat ini tak ada tarikh lagi. Ini kerana pihak Astro dan MIG sedang mengaturkan persiapan majlis itu dan akan disiarkan secara eksklusif untuk tatapan umum. Di majlis itu nanti, saya akan jemput keluarga terdekat untuk hadir termasuk ibu mertua saya. Kira macam majlis jejak kasih jugalah," katanya.

Dalam pada itu menyentuh nama anak sulungnya kata Farid, dia tidak kisah jika ramai yang mempersoalkan tindakannya berahsia mengenai perkara tersebut. Ini kerana kata Farid, dia punya alasan sendiri mengapa keputusan itu dibuat.

"Orang selalu bertanya, apakah hadiah yang paling besar dalam hidup? Jawapannya, kejutan! Biarlah menjadi satu kejutan. Buat masa sekarang, semua orang tahu nama anak saya adalah Muhammad. Tapi Muhammad itu cuma nama pangkalnya saja.

"Yang selebihnya saya akan dedahkan pada majlis akikah itu nanti," katanya yang sengaja mengawalkan majlis akikah berbanding majlis cukur jambul yang sering menjadi amalan masyarakat kita.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /