09 September 2013

Sindiket Lani Botak, Perdaya Ibu Dan Anak Edar Dadah



Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan.

Seorang suri rumah bersama anak lelakinya ditahan polis selepas dipercayai mengedar 993 pil disyaki dadah di sebuah rumah di Jalan RPT Sungai Terah, Gua Musang, kelmarin. Wanita berusia 39 tahun dan anaknya, yang juga pelajar tingkatan tiga itu ditahan dalam serbuan Ops Cantas Khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Gua Musang pada jam 7.50 malam, 7 September lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, anggota serbuan masuk ke rumah selepas pintu dibuka suspek utama dan menjumpai dadah itu di bahagian dapur rumah berkenaan.

“Lima paket berisi pil dadah disorokkan dalam sebuah kotak plastik biru bertutup yang ditempatkan di bawah rak simen bahagian kanan dapur rumah. Ketika pemeriksaan, suspek utama cuba menghalang pasukan polis menjalankan tugas menyebabkan pihak berkuasa memberi amaran lisan mengikut Seksyen 37A(1)(b) terhadapnya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati, dadah itu disimpan suspek utama dan berada di bawah pengetahuan serta kawalannya. Risikan juga menunjukkan aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu dipercayai melibatkan sindiket Lani Botak.

“Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, pada operasi sama di Bachok, polis menahan seorang penganggur di sebuah rumah tanpa nombor di belakang TNB Bachok, semalam, kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di daerah itu sejak Mei lalu.

Lelaki berusia 23 tahun dan masih bujang itu pernah menjalani hukuman penjara dan bebas pada Mei lalu.

“Turut dirampas pelbagai barang berharga antaranya jam tangan berjenama, wang tunai RM600, seutas rantai, dua gelang dan tiga cincin emas serta pelbagai gajet yang dijumpai dalam bilik tidur suspek. Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam satu kes pecah rumah di daerah itu.

Dia kini ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan untuk siasatan,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /