09 September 2013

Beri Tanah Segera, Atau Kami Berkhemah Depan Pejabat PM




"Dalam tempoh 10 hari, jika tiada apa-apa pertolongan daripada mana-mana pihak, kami nekad akan berkhemah di hadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya."

Demikian luahan 400 keluarga bekas pekerja empat ladang yang kesal apabila permohonan membina perumahan kos rendah untuk mereka masih belum diambil tindakan sejak tiga bulan lalu.

Seorang penduduk, D Sokutamani, 56, berkata, dia rela makan, tidur dan memasak bersama jiran lain di bawah khemah daripada terus berada dalam rumah yang berdepan dengan risiko keretakan.


“Janji yang diberikan kedua-dua pihak bagaikan sengaja dibuat bagi memberi kelegaan pada kami, supaya terus menanti sedangkan sejak tinggal di sini tiada apa-apa perubahan dilakukan. Kami sudah tua, cuba mereka berada di tempat kami sudah tentu sudah lama keluar dari rumah,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tinggal di bawah khemah hanya dua kali dia melihat pihak berkenaan membuat pemeriksaan ke atas rumah mereka.


Bukan cari publisiti

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penduduk, R Ramadas berkata, dia mewakili penduduk menjemput semua pemimpin daripada kedua-dua kerajaan turun padang memberi penjelasan terhadap status permohonan rumah teres yang diminta. Menurutnya, penduduk berkhemah sebagai tanda protes untuk memperjuangkan perumahan mereka dan bukannya mencari publisiti.

“Sebelum ini kerajaan negeri memaklumkan telah memperuntukkan tanah untuk diserahkan kepada kerajaan persekutuan bagi meneruskan projek pembinaan rumah. Tapi sampai sekarang, kami tidak tahu apa status yang berlaku sekarang,” katanya.

Ramadas berkata, tidak dinafikan bukan kesemua penduduk tinggal di bawah khemah kerana kawasan khemah terhad namun ia sebagai simbolik tanda protes mereka. Penduduk, S Muniandy, 60, berharap agar pihak bertanggungjawab mencari jalan membantu mereka.

"Tidak kiralah daripada pihak manapun, janji kehidupan kami terbela dan anak cucu kami selamat,” katanya.


Segera beri tanah

Dalam pada itu, Adun Dengkil, Shahrum Mohd Sharif menggesa kerajaan negeri agar tidak melambat-lambatkan pemberian tanah kepada kerajaan persekutuan untuk membina rumah teres mampu milik bagi 400 penghuni Blok 5, Pangsapuri Taman Permata, Dengkil.

Beliau berkata, pihaknya masih tidak menerima sebarang surat berhubung permohonan penyerahan tanah untuk mengarahkan kerajaan persekutuan meneruskan pembinaan rumah untuk bekas pekerja ladang itu.

“Saya tak sanggup lihat mereka tinggal di bawah khemah sedangkan pangsapuri berkenaan difahamkan selamat diduduki untuk jangka masa pendek.

“Namun, saya sendiri bakal berjumpa menteri di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengesyorkan pembinaan rumah teres mampu milik kepada bekas pekerja ladang yang terlibat dengan syarat, kerajaan negeri memberikan tanah seperti dijanjikan dengan segera,” katanya.

Menurutnya, jika sebuah penempatan semula dapat diwujudkan dengan pemberian tanah oleh kerajaan negeri, sudah tentu kerajaan persekutuan boleh mengambil tindakan selanjutnya.

Shahrum berkata, beliau meminta penduduk berkenaan menghentikan segera tindakan mogok tinggal di bawah khemah dan niat mahu berkhemah di hadapan Pejabat Perdana Menteri.

“Bagi saya, sudah tentu pihak berkenaan sudah terima memorandum mereka cuma tinggal mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri. Jadi, penduduk diharap dapat jalankan rutin harian seperti biasa dan tidak lagi tinggal di khemah,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /