TRANSKRIP perbualan antara pesawat Malaysia Airlines MH370 dan Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Subang tidak menunjukkan perbualan luar biasa, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Transkrip perbualan yang didedahkan hari ini menunjukkan perbualan terakhir pesawat MAS yang hilang pada 8 Mac bersama 239 penumpang dan kru adalah “Selamat malam Malaysia tiga tujuh kosong” (Good night Malaysia three seven zero) pada jam 1.19 pagi.
Dalam kenyataan awal berkenaan kehilangan pesawat pada 8 Mac, Malaysia Airlines berkata mereka “mengesahkan pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang pada 2.40, pagi, hari ini (8 Mac, 2014)”.
Syarikat penerbangan itu bagaimanapun melakukan pembetulan terhadap kenyataan mereka dan berkata kali terakhir pesawat dihubungi adalah pada 1.19 pagi, bukannya 2.40 pagi waktu Malaysia.
“Transkrip ini dikongsi bersama dengan keluarga penumpang. Tiada perkara yang pelik direkodkan dalam transkrip,” kata Hishammuddin dalam kenyataannya di Kuala Lumpur hari ini.
Transkrip berkenaan juga katanya, merupakan sebahagian daripada siasatan Polis Diraja Malaysia.
“Malaysia Airlines sebelum ini berkata mereka mengenal pasti suara itu adalah milik pembantu juruterbang.
“Polis kini sedang berusaha untuk mengesahkan perkara itu, dan penyiasatan forensik terhadap rakaman asal sedang dilakukan,” katanya lagi.
Pada 12 Mac lalu, pegawai Malaysia mendedahkan perbualan “Baiklah, selamat malam” (“All right, good night” adalah kata-kata terakhir daripada pesawat MH370, yang dimaklumkan kepada keluarga penumpang di Beijing.
Hishammuddin turut berkata, pasukan penyiasat antarabangsa dan pihak berkuasa Malaysia masih berpendapat pergerakan pesawat berkenaan dilakukan dengan sengaja oleh individu dalam pesawat.
“Pasukan penyiasat antarabangsa dan pihak berkuasa Malaysia berpendapat, sehingga hari ini ketika pesawat hilang dari radar ‘primary’ tentera, pergerakan pesawat MH370 disengajakan oleh individu dalam pesawat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan