28 April 2014

PENDUDUK SANGUP BARING ATAS JALAN DEMI HALANG LORI MASUK KAMPUNG

DSC_1374 (2)
BANGI – “Saya sanggup baring atas jalan supaya lori sampah tak masuk kampung kami,” demikian tegas penduduk, Sobry Shafie, 46, yang mendakwa akan merealisasikan tindakan berkenaan jika pemandu lori sampah masih berdegil dan memasuki kampung mereka.
 
Katanya, penduduk berdepan kesengsaraan hampir 10 tahun apabila tanah seluas 2.2 hektar di Kampung Sungai Kembong Hilir sebelum ini digunakan sebagai tapak pelupusan sampah terbuka sejak tahun 1998.

Pelbagai masalah termasuk jerebu, pencemaran air dan bau ditanggung setiap hari sehinggalah tapak itu ditutup menerusi projek pemuliharaan dan penutupan secara selamat oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan kerajaan negeri beberapa tahun lalu.

Menurut Sobry, bagaimanapun, penduduk terkejut apabila mendapati lebih 30 lori sampah kembali membuang sisa buangan domestik di tapak itu dan dikatakan mendapat kebenaran PBT sejak Jumaat dua minggu lepas.

Memang tak sanggup dah hadapi benda sama sejak 10 tahun dulu. Saya ada anak OKU di rumah, bila ada sampah di tapak itu, rumah kami ‘diserang’ lalat. Kesian kat anak sebab dia tak dapat nak halang lalat yang hinggap di muka dan badan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Samsul Taharini, 39, berkata, dia terkejut apabila PBT membenarkan perkara itu berlaku sedangkan tiada perbincangan daripada penduduk yang diperoleh.

Katanya, jarak rumah penduduk dengan tapak itu terlalu hampir iaitu kurang 300 meter.
Meskipun difahamkan tapak berkenaan hanya digunakan secara sementara selama dua bulan, namun dianggarkan 500 tan sampah sehari dibuang ke situ.

Sinar Harian juga difahamkan, penduduk akan berkawal di pintu masuk ke tapak berkenaan selama 24 jam bagi menghalang kemasukan lori sampah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /