10 April 2014

Watasyiah Dalam Memahami Ibadat

 
Wasatiyyah Najib
 
MEMANG tujuan dijadikan manusia ialah untuk beribadah kepada Pencipta (wama khalaq tul jinni wal ins illaliyaqbudun- al Quran). Maksud ibadah adalah terlalu luas untuk dikupas.Ia tidak hanya bersifat khusus seperti solat, siyam, haji dan seumpamanya tetapi bagaimana pancaran ibadah khusus terlihat dalam amalan dan peribadi.
 
Solat umpamanya tidak sekadar menghubungkan Abid dan Rabb tetapi memiliki sifat tunduk, taat dan akur terhadap ALLAH. Ia menghasilkan watak ibadullah dan ibadurrahman – taat kepada ALLAH dan memiliki jiwa kasih sayang yang tinggi.
 
Taat kepada suruhan ALLAH membawa kebaikan kepada manusia dan akur kepada pantang larang ALLAH adalah suatu barakah yang tidak terhingga.Ibadah dalam konteks wasatiyyah memberikan perspektif seimbang antara kesan duniawi dan juga ukhrawi. Keseimbangan ini penting kerana Islam itu agama risalah.
 
Rasulullah SAW adalah saksi tentang kehebatan seorang manusia yang rahmat contohnya tidak saja untuk orang Islam tetapi juga untuk yang lain (wama arsalna kailla rahmatan lil ‘alamin).
 
Al-Quran tidak saja terkandung prinsip mengenai aqidah, ibadah, syariah dan akhlak tetapi menjadi pedoman terhadap watak, sahsiah dan amaliah. Ia terkandung ilmu, petunjuk dan pedoman bagaimana kehidupan itu seharusnya dijalani.
 
Sunnah Rasulullah SAW adalah sumber ikutan dan contoh yang terbaik bagi kita. Sunnah Rasulullah SAW adalah manifestasi Qurani yang hidup dalam diri dan amalan. Hal ini disebutkan oleh Siti Aishah apabila ditanya oleh sahabat Nabi mengenai akhlaknya sebagai khuluq al-Quran.
 
Apabila kefahaman terhadap ibadah tidak hanya secara ritual atau rohaniah semata, tetapi terhubung dengan binaan peribadi dan diri serta diterjemahkan dalam bentuk amal, ia menepati maksud wasatiyyah yang sebenar.
 
Maksud berimbang dalam keyakinan dan amalan ialah bagaimana asas rohaniah memberi kesan amaliah sehingga terlihat keindahan Islam dalam diri dan sistem.
 
Umpamanya dalam proses keilmuan dan pendidikan tidak saja faktor naqliah (hubungan kita dengan
ALLAH dan wahyu) dijadikan sumber pedoman tetapi faktor aqliah yang dipandu oleh naqliah mampu menyantuni sistem.
 
Sekiranya ilmu yang dikuasai oleh umat Islam hanya dalam batas diniah (agama) tetapi tidak terhubung dengan proses membina sistem, umat Islam akan terus menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain dan tidak mampu menyumbang dari sumber ketamadunan sendiri.
 
Ilmu yang dikembangkan umpamanya tidak boleh bersifat bebas nilai (value free). Ia semestinya terhubung dengan asas nilai (value-laden) maka baharulah ilmu berfungsi memenuhi asas kesejahteraan insan. Kalau tidak ilmu hanya bersifat mekanistik tetapi tidak bertatahkan etika dan nilai.
 
Begitu juga pendidikan yang disuburkan tidak saja meraikan keperluan kognitif (akal-fikir) tetapi juga keperluan afektif (hati budi) supaya membangun fikiran dan terlihat pada amalan.
 
Hal ini penting kerana pendidikan dalam erti kata sebenar bukan sekadar suatu proses pemindahan ilmu, maklumat dan kemahiran tetapi juga suatu proses transformasi diri yang membawa kepada perubahan watak dan sikap. Pendekatan berimbang ini terhubung dengan konsep wasatiyyah.
 
Sekiranya ini tidak terjadi akan terlihat produktiviti rohaniah seseorang relatif tinggi kalau faktor diniah berkembang dan produktiviti amaliah relatif rendah kalau faktor ketamadunan tidak dibangunkan.Umat Islam memerlukan produktiviti rohaniah tinggi sebagai asas faktor amaliah tinggi sama supaya kebangunan sistem dapat disantuni.
 
Justeru ibadah dalam erti kata luas sifatnya luas dan mencakupi.Kekaguman terhadap abid atau ahli ibadah sering ditumpukan kepada faktor luaran diri seseorang dan terhubung dengan hal-hal spiritual atau ibadah khusus.
 
Ibadah seharusnya terhubung langsung dengan cara kita menguruskan kehidupan dan sistem.
Ibadah khusus bermaksud binaan rohaniah yang mantap supaya apabila ia terpancar dan terpandu dalam mengurus kehidupan, ia menjadi lebih seimbang. Inilah pendekatan wasatiyyah yang mampu menyaksikan keindahan Islam dalam peribadi dan amali.
 
Wasatiyyah dalam ibadah tidak mengizinkan pendekatan ekstrem atau melampau terjadi. Kepelampauan boleh membawa kepada kegopohan dan kegopohan boleh menghasilkan konflik.
 
Pendekatan wasatiyyah dalam beribadah mengajak para abid atau ahli ibadah berpegang kepada prinsip syarak yang diolah untuk memenuhi maqasid supaya agama itu tidak dilihat secara sempit dan terbatas, tetapi luas seluas kehidupan itu sendiri

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /