11 April 2014

Jangan Tunduk Kepada PKR

OB1_9702_Fotor



Kuala Lumpur – Pas mesti meneruskan hasrat membentangkan usul rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Parlimen dan tidak sesekali tunduk kepada penentangan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya demi menjaga hati pakatan pembangkang.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, perjuangan untuk menegakkan hukum Islam adalah cita-cita tertinggi penubuhan parti itu dan usaha ber-kenaan tidak seharusnya dikendurkan atau digagalkan hanya kerana tentangan daripada DAP dan PKR.

Menurutnya, sekarang adalah waktu terbaik untuk Pas membentangkan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat bagi membolehkan Kerajaan Negeri Kelantan mendapat kebenaran melaksanakan hukum hudud kerana Kerajaan Persekutuan dan UMNO sendiri sudah menyatakan sokongan.

“Hudud merupakan antara teras perjuangan Pas yang telah lama kita perjuangkan kerana itu tuntutan syariah. Saya harap matlamat pelaksanaan syariah lebih diutamakan daripada sebarang percaturan lain yang bersifat politik. Pas perlu pastikan jadi realiti kerana inilah yang ditunggu oleh orang Islam.
“Sekarang masa paling sesuai sebab ada keterbukaan daripada Kerajaan Pusat dan UMNO tetapi penghalangnya adakah kita nak jaga hati rakan politik (DAP dan PKR),”

Katanya ketika ditemui pada Seminar Antarabangsa Penghayatan Wasatiyyah Dalam Kerangka Maqasid Syariah, di sini hari ini.

DAP serta PKR menerusi Ketua Publisitinya, Tony Pua dan Naib Presiden, N. Surendran semalam memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentang rang undang-undang itu di Dewan Rakyat akan ditentang.

Tony Pua adalah pemimpin kedua DAP yang tampil menentang hasrat Pas selepas bekas Pengerusi, Karpal Singh lantang mengingatkan Dewan Rakyat minggu lalu agar jangan membenarkan usul tersebut diluluskan, manakala Surendran pula pemimpin PKR pertama berbuat demikian.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberitahu, rang undang-undang persendirian mengenai hudud akan dibentangkan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran untuk membolehkan hukum Islam itu dilaksanakan di negeri tersebut.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tindakan Pas negeri-negeri tertentu yang gagal tampil menyatakan sokongan terbuka kepada hasrat Kerajaan Pas Kelantan itu, Nasharudin berkata, keputusan mengenai hudud dan langkah untuk membentangkan di Dewan Rakyat adalah usaha kolektif.

Apa yang saya tahu keputusan ini dibuat secara kolektif bukan oleh individu atau negeri. Apabila keputusan secara kolektif telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat ia harus dihormati walaupun mungkin individu ada pandangan sendiri,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /