10 April 2014
Isteri Muda Dicekup
KUANTAN: Malang bagi seorang suami beristeri dua apabila isteri keduanya membuat ‘onar’ dengan menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain setiap kali dia berada di rumah isteri pertama untuk menjalankan tanggungjawab berpoligami.
Tidak cukup memadu kasih di rumah sendiri pada tengah malam selepas dua anak mereka tidur, wanita yang boleh dianggap ‘madu durjana’ itu sanggup menyewa bilik di rumah tumpangan untuk bertemu kekasih hatinya pada sebelah siang.
Namun, kecurangan isteri berusia 30-an, bekerja sebagai pakar kecantikan itu terbongkar selepas dicekup Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dalam satu serbuan di sebuah rumah tumpangan di Transit Point di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.
Dalam serbuan itu, wanita terbabit ditahan bersama pasangannya dipercayai berusia 30-an, bekerja sebagai pencuci kereta di bandar ini kerana disyaki berkhalwat.
Ketika ditahan, suami wanita terbabit kebetulan berada di tempat kejadian dan sama sekali tidak menyangka isteri keduanya dicekup Jaip dalam serbuan itu.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 45, berkata, dia dapat menghidu kecurangan isteri keduanya selepas hubungan mereka dingin kira-kira sebulan lalu.
Katanya, dia yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga dengan mak andam yang mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulu atas dasar cinta tidak menyangka dikhianati dengan cara demikian.
“Hancur luluh hati saya mengenangkan kecurangannya sedangkan selama ini saya yang banyak menaikkan perniagaannya sehingga berjaya. Saya begitu kecewa dengan apa dilakukannya,” katanya.
Mohamad berkata, dia menerima maklumat isteri keduanya itu sering membawa kekasih gelap ke rumah mereka ketika dia berada di rumah isteri pertama.
“Semua perbuatan isteri terbongkar selepas dia ditahan Jaip petang semalam (kelmarin)".
“Baru kini saya tahu mengapa hubungan kami selama ini begitu dingin sehinggakan dia seolah membenci saya setiap kali tiba giliran saya pulang ke rumah untuk menunaikan tanggungjawab kepadanya,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun hasil perkongsian hidup dengan isteri keduanya itu.
Menurutnya, dia menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menghukum perbuatan isterinya.
“Apa yang tinggal kini hanya kenangan bersamanya selama lebih 10 tahun mengenali sebelum kami mengambil keputusan bernikah lima tahun lalu.
“Hati saya hancur dan sudah tawar untuk menerimanya selepas mengetahui kecurangannya. Saya rasa dikhianati,” katanya sebak.
Harian Metro difahamkan pasangan itu dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaip bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987), pasangan disyaki berkhalwat boleh didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. *Gambar hiasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan