Pelakon juga pengarah Jehan Miskin sedih
dengan dakwaan dia kononnya membelakangkan agama ekoran sekeping foto yang menunjukkan
dia bersama isterinya memakai loket berbentuk lambang salib yang dimuatkan di
laman Instagram miliknya, baru-baru ini.
Malah pengarah drama What If ini menyifatkan
tindakan segelintir pihak yang menempelaknya dengan kata-kata kurang sopan
sebagai tidak rasional, terlalu emosi dan bersikap 'terlebih' sensitif.
"Pada saya ianya mudah. Kalau kita fikir
positif, positif lah. Tapi kalau kita fikir negatif, jadi negatif lah ia. Bila
isu ni timbul saya cuba jelaskan yang loket itu bukan lambang salib. Saya siap
suruh pihak itu rujuk wikipedia.
"Saya dilahirkan Islam, jadi tak masuk
akal kalau saya pakai salib. Lain lah kalau saya tak perasan atau terpakai.
Tapi dalam hal ini, saya memang pakai loket tu dan nak kongsikan gambar pada
para peminat saya. Loket tu adalah lambang pengangkap dan sama sekali tak
mewakili simbol mana-mana agama", katanya kepada Malaysian Digest tatkala
diminta mengulas mengenai isu tersebut.
Pun begitu menurut Jehan, dia pada mulanya
membalas kritikan pihak tersebut menerusi laman Facebooknya dengan tujuan cuba
untuk membetulkan salah faham pihak terbabit. Tetapi apabila pihak pengkritik
berkenaan dan peminatnya dilihat mula bergaduh disebabkan perbezaan pendapat
tentang gambar itu, Jehan semakin bingung dan terus berputus asa untuk
mempertahankan kenyataannya.
Inilah gambar yang dimuatkan Jehan di Instagramnya yang mencetuskan 'isu panas'. |
Malah disebabkan tidak mahu laman sosial
Facebook menjadi medan perang, kata Jehan, dia terpaksa 'menyembunyikan'
beberapa kritikan yang disifatkan sebagai kritikan yang melampau.
"Mula-mula saya jawab komen tersebut
sebab nak betulkan salah faham. Saya tak marah pihak tersebut. Tapi bila saya
reply, ada lagi yang mengatakan loket tu memang lambang salib dan masa tu ada
juga peminat yang menyokong saya. Jadi kali kedua, saya reply lagi untuk beri
penjelasan. Saya ingatkan semuanya dah selesai tapi lain pula jadinya apabila
peminat saya dan pengkritik tersebut mula bergaduh. Kali ketiga, saya dah malas nak layan dah...
lantak lah nak jadi apa pun.
"Sampaikan saya terpaksa hide beberapa
komen yang sangat pedas bagi mengelakkan peminat saya terus bergaduh dengan
pihak berkenaan. Saya tak nak Facebook saya jadi tempat bergaduh. Padahal
selama ni facebook saya berkongsi perkara-perkara yang menggembirakan.
"Cuma apa yang saya sedih, kenapa ada
pihak yang sensitif sangat...? Bagi saya pihak yang mengkritik tu, emo. Kenapa
mereka cepat melenting dan tak rasional. Kalau mereka rasional, mesti ianya ada
perbincangan dan hujah.
"Ada yang cakap pada saya, lelaki mana
boleh pakai rantai. Apa yang saya tahu ialah, ustaz saya pula cakap, lelaki tak
boleh pakai emas. Tapi bila individu itu mengatakan lelaki tak boleh pakai
rantai, adakah dia jadi lebih konservatif?", katanya dengan panjang lebar.
Jehan juga memberitahu, aksesori itu
merupakan tajaan daripada Thomas Sabo memandangkan dia merupakan antara
pelanggan tetap jenama aksesori tersebut. Dan tujuannya memuat naik gambar
tersebut hanyalah sekadar mahu berkongsi dengan peminat mengenai koleksi
aksesori yang diminatinya itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan