Setiap hari, Malik Amir Mohammad Khan Afridi,
48, pasti memperuntukkan masa selama 30 minit untuk membasuh, menyikat,
meletakkan minyak dan memintal misai sepanjang 76 sentimeter yang mencecah
dahinya itu kepada dua bahagian. Disebabkan misai yang unik itu, ahli
perniagaan Pakistan itu pernah diculik, diugut bunuh dan dipindah secara paksa
supaya hidup berjauhan daripada keluarganya.
"Masyarakat amat menghormati saya. Misai
ini merupakan identiti saya," ujarnya ketika ditanya mengenai persediaan
untuk menghadapi risiko yang berkaitan dengan misai kesayangannya itu.
"Saya gembira. Apabila sesuatu perkara
itu menjadi kebiasaan, tiada sesiapa pun yang memberi perhatian. Saya suka
menjadi perhatian orang ramai," jelas datuk kepada beberapa orang cucu
yang kini menetap di barat laut bandar Peshawar.
Sejak beberapa abad lalu, misai yang dijaga
rapi menjadi lambang kepada kelelakian dan kekuasaan di India. Di Pakistan,
pejuang Islam cuba menguatkuasakan undang-undang supaya misai perlu dipotong
atau dicukur. Daripada seorang yang terkenal, Malik bertukar menjadi banduan di
Lashkar-e-Islam yang menjadi sekutu kepada Taliban dalam kalangan puak Khyber
di sempadan Afghanistan.
Kumpulan tersebut meminta wang perlindungan
sebanyak RM1,638 sebulan. Apabila dia enggan membayar wang tersebut, empat
orang bersenjata menyerang rumahnya empat tahun lalu. Menurutnya, dia dipenjarakan
selama sebulan di dalam gua dan hanya dilepaskan setelah memotong misainya itu.
"Saya takut sekiranya dibunuh oleh
mereka. Jadi, Saya terpaksa mengorbankan misai kesayangan dengan
memotongnya," ujarnya.
Dia telah melarikan diri ke rumah saudaranya
di Peshawar sebagai langkah keselamatan. Selepas itu, dia menyimpan semula
misainya dan kembali menerima ugutan untuk menyembelihnya menerusi panggilan
telefon pada tahun lalu.
Melarikan diri
Ekoran ugutan itu, dia melarikan diri sekali
lagi ke sebuah bandar Punjabi, Faisalabad dan hanya kembali ke Peshawar sekali
atau dua kali sebulan untuk melawat keluarganya.
"Saya masih takut. Sepanjang bulan
Ramadan lalu, saya berada di Peshawar bersama keluarga. Tetapi hanya
menghabiskan masa di rumah dan memberitahu orang ramai bahawa saya berada di
Faisalabad jika mereka mahu berjumpa," ujarnya.
Misai yang panjang itu sedikit pun tidak
mengganggunya mengambil wuduk untuk menunaikan solat setiap hari. Dia akan
menyelitkan misai itu di belakang telinganya.
Kos sebanyak RM492 sebulan diperuntukkan bagi
menjaga dan mengekalkan misai itu. Jumlah tersebut merupakan pendapatan bulanan
yang diterima oleh seorang guru di Pakistan. Walaupun dia mendapat peruntukan
sebanyak RM164 daripada pihak berkuasa di kawasan tersebut bagi menjaga
misainya, dia tetap memilih untuk melarikan diri.
Pihak pentadbiran Khyber akan membayar wang
berjumlah RM32 hingga RM197 sebulan kepada lelaki bermisai yang berjaya menarik
perhatian sebagai simbolik penghargaan kepada keberanian dan sifat kelelakian
mereka.
Malik menggunakan pengering rambut, sabun
buku, syampu, minyak Jerman dari Dubai yang telah dibuang label kandungannya,
cermin dan sebotol minyak kelapa buatan sendiri sebagai kelengkapan untuk
merapi misainya.
Merapi misai
Dia melumurkan minyak Jerman kemudian
memintal-mintal dan mengeringkan misainya itu di hadapan cermin sebelum keluar
ke pusat beli-belah. Kemunculannya di kawasan tumpuan itu ternyata menarik
perhatian khalayak ramai. Dalam pada itu, isteri Malik dan 10 orang anaknya kurang
bersetuju dengan tindakan Malik menyimpan misai yang panjang.
"Keluarga menyuruh saya memotong misai
kerana mereka mahu saya terus bersama mereka. Saya boleh meninggalkan Pakistan
tetapi tidak akan sekali-kali memotong misai saya," ujar Malik.
Sekiranya dia mempunyai visa, impiannya untuk
mencari perlindungan politik atau mewakili negara pada peringkat antarabangsa
pasti tercapai. Bagi mencapai cita-citanya itu, dia perlu memecahkan rekod
misai sepanjang 4.29 meter sekali gus merupakan misai terpanjang di dunia yang
dipegang oleh lelaki dari India.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan