Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.
Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang bakal dibaik-pulih dengan kos
mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam. Mufti Selangor,
Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam mengharamkan sesebuah pusara itu
dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas
sebuah tanah wakaf.
“Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk
menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang
mahal. “Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara
dihias secara berlebih-lebihan di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah
persendirian,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian
terhadap pusara P.Ramlee dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada
Mac lalu. Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam
laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil
sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari luar
negara yang turut mencecah RM25,000. Pusara berkenaan terletak di Tanah
Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini.
Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap
pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain
dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana
ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.
Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu
sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat
memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati
agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan