Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein hari ini menyokong gesaan supaya Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri P.Waytha Moorthy meletak jawatan jika tidak berpuas hati dengan
tindakan polis. Beliau berkata, Waytha Moorthy dilihat gagal mengawal emosi dan
mendahulukan kepentingan politik berbanding sikap tanggungjawab secara kolektif
sebagai anggota Kabinet.
"Saya setuju sangat dengan Zahid...apa
yang disebut 101 peratus betul.
Sebagai anggota Kabinet, kita tidak boleh
meletakkan kepentingan peribadi melebihi pertimbangan secara kolektif,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas cabaran Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini supaya Waytha Moorthy berhenti
memegang jawatan berikutan tidak puas hati dengan kematian lima lelaki
dipercayai anggota kongsi gelap dalam operasi polis di Pulau Pinang, baru-baru
ini.
Hishammuddin berkata, beliau dan Zahid
masing-masing mempunyai pandangan peribadi, namun sebarang pertimbangan atau
kenyataan yang dibuat sebagai anggota kabinet sentiasa berlandaskan
tanggungjawab kolektif.
"Sekiranya saya beremosi dalam membuat
keputusan kes tragedi bas di Genting Highlands baru-baru ini, saya akan
hentikan semua perkhidmatan bas ke Genting.
"Tetapi saya tidak boleh ikut emosi dan
harus membuat keputusan berdasarkan kepimpinan yang waras," tegas
Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan.
Waytha Moorthy sebelum ini mempersoal
tindakan polis kerana mendakwa sukar mempercayai berlaku kejadian
tembak-menembak selepas melihat gambar mayat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan