Pengacara dan selebriti yang terkenal dengan
panggilan Double A, Azwan Ali berhasrat mahu mengerjakan Umrah buat kali ke
tujuh pada tahun hadapan untuk melaksanakan janji dan hasrat hatinya. Untuk
pengetahuan semua, Azwan baru sahaja pulang dari menunaikan fardhu umrah buat
kali yang keenam baru-baru ini.
“Alhamdulillah, saya baru sahaja pulang dari
mengerjakan ibadah Umrah buat kali yang keenam di Tanah Suci Mekah. InsyaAllah,
jika diizinkan oleh Tuhan, saya mahu ke Mekah untuk menunaikan umrah sekali
lagi buat kali ke tujuh tahun hadapan. Sebenarnya, saya pernah berjanji di
hadapan Kaabah untuk menunaikan Umrah sebanyak tujuh kali.
Oleh itu, insyaAllah jika Allah makbulkan
hasrat hati saya, saya akan mengerjakan umrah sekali lagi pada tahun hadapan
dan selepas itu saya bersedia untuk menunaikan ibadah fardhu Haji pula,” tutur
Azwan ketika ditemui di Rumah Terbuka Johara ERA fm baru-baru ini.
Azwan juga mendedahkan pengalaman menunaikan
umrah buat kali keenam baru-baru ini adalah Umrah paling terindah yang pernah
dilalui oleh dirinya.
“Alhamdulillah, setelah enam kali menjejakkan
kaki ke sana, saya rasakan Umrah kali ini memberi pengalaman yang cukup indah
buat saya. Perkhidmatan yang disediakan oleh Utas Travel yang berpangkalan di
Melaka ini memberikan pengalaman yang terbaik dan servis yang sangat fantastik.
Saya dapat rasakan keindahan dalam menjalani
ibadah itu sendiri dan pengalaman kali keenam yang saya lalui ini sungguh
mengasyikkan,” jelas Azwan yang pernah muncul dalam program ‘Masterchef
Selebriti Malaysia’ musim pertama.
“Sejujurnya, ketika saya menunaikan Umrah
sebelum ini, hati saya masih lagi terbuku. Terbuku itu saya tafsirkan jika saya
ada perselisihan faham dengan mana-mana orang sebelum ini, saya masih lagi ada
rasa yang berbaki dalam hati saya. Namun kali ini seakan ada satu nikmat
apabila saya dapat lepaskan semua rasa yang terbuku dalam hati ketika saya
mengerjakan Umrah buat kali yang ke enam,” dedah Azwan.
“Saya tidak menafikan, jika dahulu selepas
pulang dari mengerjakan Umrah, saya tetap bercakap buruk mengenai beberapa
orang individu. Sekarang saya tidak mahu lagi berkata sedemikian rupa. Kalau
dahulu saya ada berkata yang buruk, saya hanya ingin memohon maaf kepada
individu-individu terbabit. Jika mereka enggan memaafkan saya, saya tiada komen
lanjut tentang perkara itu,” ujar Azwan mengakhiri perbualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan