26 Ogos 2013

Darah Mana Tidak Mendidih?




Oleh : Tan Sri Abdullah Ahmad

Dulu Nasser 'suara, simbol' Arab, salah hitung jadi Mesir, waspada TPP! Pesta Aidilfitri yang berterusan tidak dapat mengurangkan kesedihan saya melihat bumi Mesir, Syria, Iraq, Libya, Afghanistan, Kashmir, Pakistan, Bahrain dan Myanmar terus menerus berdarah; mereka seagama dan yang lain turut tanpa berhenti dilumuri darah. Hati mana kecuali hati batu yang tidak hancur?

Darah mana tidak mendidih kecuali darah beku? Sebab peristiwa berdarah di Mesir, saya menangguhkan menulis episod kedua kisah elBadawi dan 'buku'nya. Apa pun tegas seorang editor Cina kepada saya di Rumah Terbuka Aidilfitri CIMB Isnin lepas: "penyunting, penyokong elBadawi gagal mencapai objektif yang dingini mereka; buku mereka misfired completely- betul-betul tak mengena!"


Peristiwa di Mesir, saya suka memberi sedikit pandangan: andainya wujud seorang patriot seperti Gamal Abdel Nasser di Mesir pada kurun 21, besar kemungkinan Mesir tidak seperti kini. Nasser besar-benar 'suara dan simbol' semangat dan etos Pan-Arabism - anti penjajahan dalam apa bentuk pun. Ramai manusia Arab bersorak meriah kerana 'Arab Spring'. Sekarang ramai pula menangis melihat tragedi menimpa negara mereka.

Campur tangan kuasa Barat di Libya, Iraq, Syria, Afghanistan menyebabkan perang mazhab atau sekterian.


Di Bahrain, protesters dan demonstrasi ditumpaskan secara kejam. Di Yemen, 'perang drone' oleh Amerika Syarikat tidak kelihatan akan tamat. Apa akan jadi pada Mesir, negara Arab terbesar dengan 80+ milion penduduk? Apa akan jadi pada bangsa Arab yang berjumlah mencecah 250 milion itu? Yang jelas seterunya, dekat dan jauh, bertepuk gembira.

Sebelum Mohamed Mursi, dari Ikhwanul Muslimin dipilih presiden civilian yang pertama melalui peti undi yang sahih, Mesir diperintah oleh tentera semenjak revolusi tahun 1952. Dalam tahun 1953, Mesir diisytiharkan sebuah negara republik. Dua tahun kemudian, Kolonel Gamal Abdel Nasser jadi Presiden Mesir dan kembali ke Rahmatullah tahun 1970; diganti oleh Anwar Sadat (dibunuh oleh Islamis tahun 1981).

Kuasa lepas ke tangan Hosni Mubarak sebab rusuhan berdarah yang mengorbankan banyak nyawa dalam tahun 2011, diketepikan dan dipenjara. Pada mulanya yakni sebelum Nasser, Jeneral Mohd Naguib memerintah menggantikan King Farouk.

Datuk Razak Hussein, ketika itu Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang juga Timbalan Presiden Umno, telah menamakan anak sulungnya, iaitu Perdana Menteri kita sekarang Najib sempena nama Jeneral Mohd Naguib yang bersama Nasser mengepalai pemberontakan tentera langsung menghapuskan monarki di Mesir.

Nasser dengan segala kelemahannya amat popular kerana dia jujur, hidup simple dan sederahana; disayangi dan disanjungi oleh seluruh umat Arab hingga sekarang pun sebagai pemimpin nasionalis Arab tulen yang tidak berkompromi dengan kuasa Barat.

Dia sanggup membayar harga apa pun, berapa tinggi pun asalkan kedaulatan Mesir, maruah Arab dan Islam terjamin dan dihormati oleh kawan dan musuh. Nasser menghaknegarakan Suez Canal, membina Aswan Dam.


Nasser bersama Nehru, Tito, Sukarno, Nkrumah adalah pemimpin Afro-Asia yang berpengaruh dan disegani oleh Amerika Syarikat dan Soviet Union ketika Perang Dingin apabila kedua super power bersaing hebat dalam tahun 50 dan 60an. Nasser tidak membenarkan, tidak rela Mesir dimanipulasikan oleh kuasa Barat juga pihak Komunis.

Awal 1960-an saya mengiringi Tun Razak tatkala itu Timbalan Perdana Menteri bersama bapa Khairy Jamaluddin (Jamaluddin Abu Bakar), masa itu bertugas di kedutaan kita di Kaherah dan lima tahun senior saya di MCKK dan rombongan pegawai lain bertemu Nasser di Istana Tetamu Abidin di Kaherah.

Zaman Nasser, Amerika atau Soviet Union seperti ditegaskan oleh Speaking: "has never succeeded in persuading Nasser to do what Washington or Moscow wants." Penggantinya Anwar dan Mubarak sebaliknya pula amat pro-Amerika Syarikat dan negara Barat kononnya kerana mereka realis; berdamai dengan Israel. Kuasa besar tidak berjaya menjadikan Nasser juga Mursi pak turut! Kerana itu, antara banyak sebab Mursi 'digulingkan'.

Pemimpin ummah dan negara Islam, termasuklah kita, nampaknya tidak mengambil iktibar sejarah. Semenjak bila kuasa Besar tidak hipokrit dalam tindakan, dasar dan perbuatan mereka? Kalau negara Islam dan pemimpinnya terus membenarkan mereka dimanipulasikan umat Islam akan terus berpecah-belah.

Inilah masanya negara Islam lebih assertive, lebih tegas ketika Amerika dilihat makin lemah di bawah Presiden Obama yang tidak konsisten, adakala ragu-ragu dan bertindak mengikut angin politik. Mursi - to his credit - walaupun presedensinya belum stabil tidak begitu bersedia untuk mengikut rentak lagu dan irama kuasa Barat dalam pemerintahannya.

Dia telah menerima padah sebab kemerdekaan dan kedegilannya. Kita di Malaysia harus jangan tergopoh-gopoh dan mesti lebih waspada, lebih cermat terhadap perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). Kalau TPP begitu bagus kenapa Indonesia dan Filipina - kedua ekonomi lebih besar dari kita - tidak akan menyertainya? Salah hitung, salah caturan main politik dan diplomasi; kurang tegas kita bisa jadi Mesir!

Saya tidak hairan langsung Saudi Arabia, Kuwait dan negara Emirate menyokong penuh pemerintahan sementara di Mesir dengan menghulurkan bantuan segera tanpa syarat berjumlah 12 bilion Dolar Amerika sebagai permulaan; juga kebebasan Mubarak dari penjara kepada tahanan di rumah.

Kerajaan sementara di belakangnya adalah Jeneral Abdel Fattah al-Sisi- walaupun Naib Presiden Mohamed El-Baradei, pemenang/laureate Hadiah Nobel, tokoh Mesir yang disegani oleh dunia antarabangsa meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan pemerintahan menggunakan kekerasan terhadap protesters, kutukan oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Kesatuan Eropah terhadap rejim baru Mesir - tidak akan menyerah kepada

Ikhwanul Muslimin apa jadi pun. Inilah tragedi Mesir sebenarnya: tidak ada lagi titik pertemuan untuk berdamai. Maka darah akan terus mengalir dan ramai lagi akan hilang nyawa, cedera dan cacat. Duit pertaruhan saya- semata-mata kerana mahu menang betting politik - adalah pihak yang bersenjatakan bedil, meriam dan peluru akan menang.

Tegas Mao Zedong: "kuasa datang dari muncung senapang." Juga melalui peti undi. Di Mesir, jelas siapa akan menang pada akhirnya. Hasil peperangan Iraq anjuran Amerika: yang untung adalah seteru AS iaitu Iran dan mazhab Syiah. Peristiwa di Mesir menguntungkan Israel!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /