Oleh : Ridhuan Tee Abdullah
Beberapa bulan yang lalu, saya dijemput
berceramah (forum) oleh sebuah pertubuhan Islam di Singapura. Malangnya, setiba
di sana saya ditahan dan disoal siasat selama 1 jam. Saya tidak tahu sebab
musababnya. Tiga bulan lalu saya turut dijemput, tidak timbul masalah sebegini.
Sebelum itu, sudah lama juga (hampir 4 tahun)
saya tidak ke Singapura kerana tidak dapat clearance
daripada pihak berkuasa di sana. Saya sudah dapat agak sebabnya. Cuma, kali ini
(2013) saya hairan kerana saya dijemput semula. Seperti biasa saya menerima
jemputan tersebut.
Saya disoal siasat dengan pelbagai soalan
bersifat amat peribadi. Semua perkara mengenai saya dan keluarga ditanya
mahukan jawapan. Saya menjawab semua soalan dengan baik, sehinggalah percubaan
untuk mengambil telefon bimbit saya. Ketika itu, saya mula berkeras, kerana ia
terlalu peribadi dan saya tidak benarkan sama sekali.
Saya bertanya kenapa saya ditahan dan disoal
siasat, mereka mengatakan ia prosedur biasa. Kenapa saya, bukan pelancong lain?
Tiada jawapan. Sejurus dilepaskan, saya bertanya kepada pihak penganjur. Mereka
mengatakan ia ada kaitan dengan artikel yang saya tulis dalam akhbar-akhbar
tempatan terutama menyentuh isu Melayu
Islam di Malaysia, tidak ketinggalan di Singapura.
Jangkaan saya selama ini benar. Apa yang saya
tulis kebelakangan ini, tidak disenangi oleh pihak berkuasa ultra kiasu di sana. Perangai ultra kiasu Malaysia sama sahaja dengan ultra
kiasu Singapura.
Ingatan saya kepada kerajaan Malaysia,
berhati-hatilah. Jangan gadaikan kepentingan negara seperti hartanah, rumah,
air dan sebagainya atas nama persahabatan dan sangka baik. Belum tentu mereka
menghargainya. Mereka mempunyai banyak duit dan boleh buat apa sahaja.
Sebahagian daripada hartanah di Johor dan
Pulau Pinang sudah banyak dibeli dan menjadi hak milik kekal. Ini tidak
termasuk di negeri lain (Malaysia). Apa pengajaran yang dapat dipetik daripada
insiden ini? Bahaya ultra kiasu
kepada negara.
Jika tidak dibendung, apakah nasib Melayu (Islam) di bumi Melayu. Justeru, saya mahukan
umat Islam sedar, tidak kira apa jua partinya. Seagama tetap bersaudara,
walaupun tidak sebangsa. Benar, kita perlu berbaik sangka. Tetapi apakah kita
harus terus berdiam, jika musuh begitu nyata di depan mata dan sentiasa
merancang untuk memusnahkan kita.
Bukanlah maksud saya kita turut bertindak
memusnahkan mereka. Paling penting, kita perlu bertegas dengan mereka mulai
sekarang. Jangan terlalu fikirkan soal pembangunan dan undi. Menang sorak
kampung tergadai. Kaduk naik junjung. Bertindaklah mengikut perlembagaan. Jika
mereka menyentuh isu-isu sensitif, seperti menghina Islam, raja dan Melayu
(bangsa dan bahasa), yang terkandung dalam akta hasutan, jangan ragu-ragu
dengan tindakan itu.
Jika kita terus berlembut, kita akan terus
menjadi mangsa. Jangan haraplah dengan berlembut, mereka akan mengundi kerajaan
sedia ada. Insiden yang saya alami cukup jelas. Ultra kiasu tidak mahu ada sesiapa yang menghalang mereka.
Awal-awal lagi sudah dibanteras. Orang Melayu (Islam) yang belajar di sekolah
kerajaan, tidak dibenarkan memakai tudung (menutup aurat). Umat Islam mesti
akur dengan keputusan tersebut, suka atau tidak.
Jika
berceramah, perkara yang tidak boleh disentuh adalah; polisi dan dasar kerajaan
mereka tidak boleh dikritik, isu Israel tidak boleh disentuh, isu agama apatah
lagi.
Pendek kata, jika berceramah di Singapura, hanya boleh bercakap tajuk itu
sahaja. Jangan unsur-unsur sindiran, hasutan dan sebagainya.
Berbeza sungguh demokrasi di negara kita
dengan mereka. Kita terlalu memberi banyak kebebasan, sehingga ultra kiasu menjadi semakin berani.
Sama ada isu tersebut sensitif atau tidak, semuanya dilanyak.
Kerajaan terus berdiam diri. Jika pihak
berkuasa cuba bertindak, maka dituduh melanggar hak asasi manusia. Kita pun
mengalah. Lihatlah bagaimana ultra kiasu
membela wanita yang menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Pada mereka, itu tidak salah, malah
dibenarkan. Sedangkan ultra kiasu tahu itu salah. Mereka begitu berani. Kenapa?
Jawapannya, mudah, kerana adanya ultra kiasu menyebelahi mereka. Kesimpulannya, janganlah kita asyik menuding
jari kepada saudara seagama. Lihatlah sama musuh kita itu, kerana mereka lebih
bahaya daripada saudara seagama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan