Jemaah solat Jumaat
Masjid Rafeah Taman Uda, di sini, gempar apabila seorang warga emas berusia 66
tahun tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika khatib membaca
khutbah, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, jemaah itu,
Arshad Harun dari Kampung Padang, Hutan Kampung, di sini, dikatakan menghidap
penyakit darah tinggi.
Jemaah lain yang
melihat mangsa tiba-tiba rebah segera mengangkat mangsa dan meletakkannya di
tepi dinding sambil memberi rawatan kecemasan. Seorang jemaah, Yusof Abdul
Majid, 80, dari Taman Muhibah, di sini, berkata dia bersama beberapa jemaah
lain mengangkat Allahyarham ke tepi dinding sambil mengurut belakangnya bagi
memberi bantuan.
“Ketika itu, saya
dapat rasa arwah masih bernafas dan kami cuba memulihkannya sementara menunggu
ambulans tiba. Saya difahamkan dia meninggal dunia tidak lama kemudian.
“Arwah tinggal di
Kampung Padang, Hutan Kampung dan selalu menunaikan solat Jumaat di masjid
ini,” katanya yang ditemui di sini, semalam.
Imam Masjid Rafeah
Taman Uda, Zakaria Long, 74, berkata, ini kali pertama jemaah meninggal dunia
di dalam masjid berkenaan sejak masjid ini beroperasi 30 tahun lalu.
“Ini kes pertama
jemaah meninggal dunia di masjid ketika khatib membaca khutbah Jumaat. Bagi
saya, arwah antara individu yang diberi keistimewaan Allah kerana meninggal di
dalam masjid, pada hari Jumaat yang mulia,” katanya.
Anak mangsa, Mohd
Azhari Arshad, 22, berkata, arwah bapanya sudah mengidap penyakit darah tinggi
sejak dua tahun lalu.
“Arwah selalu mengadu
penat dan sakit darah tinggi sejak dua tahun lalu, tetapi tidak menunjukkan
sebarang perubahan pelik sebelum ini. Arwah selalu pergi
menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan walaupun ada masjid berhampiran
dengan rumah.
Menurutnya, arwah
juga sudah berhenti merokok sejak Ramadan lalu kerana bimbang dengan
penyakitnya itu.
“Arwah dikebumikan di
tanah perkuburan Islam Kampung Padang, Hutan Kampung, semalam,” katanya.
Sementara itu, Ketua
Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Md Jan ketika dihubungi
mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai
kematian mengejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan