Aktres dan penyanyi tinggi lampai, Sasha Saidin kini dikaitkan dengan
pelantun lagu ‘Bila Aku jatuh Cinta’, Awi Rafael. Biarpun sebelum ini Awi
pernah membidas gosip itu, namun ada sumber terdekat dengan pasangan ini
memaklumkan Sasha dan Awi kini semakin intim dan mula merancang untuk
berkahwin. Bagi mendapatkan kepastian, pihak media menghubungi Sasha untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya. Adakah
Awi lelaki yang berjaya membuka pintu hatinya untuk berkahwin lagi?
“Sebenarnya kami hanya sekadar kawan. Saya pun baru mengenali Awi ketika
kami sama-sama menyertai sebuah program amal di Johor pada bulan Ramadan lalu.
Dari perkenalan itulah, kami terus berkawan.
Awi mempunyai projek ‘girl band’ yang konsepnya sama seperti kumpulan
Elite. Jadi dia meminta pendapat dan buah fikiran saya mengenai projek
tersebut,” jelas Sasha memulakan perbualan.
Sasha menjelaskan yang secara kebetulan, kawannya juga merupakan kawan
kepada Awi. Jadi mereka pernah keluar beramai-ramai, bukannya berdua. Ketika
diusik dengan pertanyaan adakah Awi mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya, Sasha
ada penjelasan tersendiri mengenai perkara tersebut.
“Saya belum mengenalinya dengan lebih rapat, kami sekadar teman. Tapi
secara umum, saya melihat yang Awi ini seorang lelaki yang matang, bekerja
keras, genius dan dia sangat berbakat dalam bidang yang diceburinya iaitu
bidang muzik. Dia juga sangat banyak membaca dan sangat seronok untuk berbual
bersamanya sebagai seorang kawan. Lagipun saya baru sahaja kenal dia ketika
bulan puasa yang lalu. Syawal pun belum habis lagi,” seloroh ahli kumpulan
Elite ini lagi.
Ketika ditanya adakah Sasha menerima jika jodohnya bersama Awi, Sasha
menyerahkannya semua kepada takdir.
“Semuanya di tangan Tuhan. Saya tak tahu apa yang bakal terjadi nanti.
Sekiranya perkara ini betul-betul terjadi, apa yang penting ialah saya ‘single’
dan dia pun ‘single’. Jadi kami masing-masing tidak mempunyai komitmen dengan
orang lain. Awi seorang jejaka yang baik, matang dan berkerjaya. Tapi apa yang
bakal berlaku nanti, semuanya terletak di tangan Allah. Tapi kini saya cuma
berkawan dengan dia,” cerita Sasha lagi.
Dalam perkembangan lain, Sasha bakal tampil sebagai hos untuk rancangan
berbahasa Inggeris. Di samping itu, Sasha juga bakal mewakili Malaysia untuk
memperagakan busana dari pereka fesyen terkemuka di luar negara. Mengakui yang
kini dia agak sibuk dengan acara fesyen dan ‘catwalk’, Sasha masih lagi
mempertimbangkan beberapa tawaran berlakon yang mungkin akan menjalani
penggambaran pada bulan hadapan.
Selain itu, Sasha juga mendapat beberapa tawaran untuk menjadi duta kepada
beberapa produk dan juga butik, tetapi semuanya masih lagi dalam pertimbangan.
Sasha menegaska, selain sibuk dengan kerjaya seni, dia juga tidak melupakan
tugas hakikinya sebagai seorang ibu kepada Adam Aryasenna yang baru menginjak
usia empat tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan