Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin
menyifatkan cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
mengadakan dialog terbuka bagi membincangkan isu kebangsaan sebagai satu
tindakan terdesak.
Beliau berkata Anwar semakin ketandusan idea
setelah usahanya mengadakan demonstrasi menentang keputusan Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) tidak membuahkan hasil bahkan keputusan mahkamah berhubung
petisyen pilihan raya juga tidak memihak kepada pembangkang.
"Kita sentiasa terbuka tetapi apabila
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setelah selesai PRU13, beliau
menyeru kepada perpaduan nasional, ketika itu tiada usaha daripada ketua
pembangkang sebaliknya diadakan beberapa siri demonstrasi, pertikaian keputusan
PRU13 sehingga masuk mahkamah.
"Kita tidak ada masalah untuk berdialog
tetapi jangan cuba menampakkan beliaulah (Anwar) yang nak menyatupadukan negara
ini. Kita kena tahu apakah terma rujukan dialog itu, nak ada dialog mesti
ikhlas," katanya kepada pemberita semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri
'Merdeka Raya' di ibunegara hari ini.
Anwar hari ini mengajak diadakan sebuah
dialog terbuka yang akan berlangsung secara telus dan kondusif antara kerajaan
dan pembangkang bagi membincangkan isu kebangsaan yang perlu ditangani.
Bagaimanapun, katanya, seruan dialog itu
tidak sama dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang pernah menjadi isu
hangat sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan