Oleh : Dr Harun Din
Setiap soalan memang ada jawapan. Jawapan itu
bergantung pada pengetahuan yang ada pada penjawabnya. Kadang-kadang ada yang
mengikut ‘rasa’, seperti soalan anda
di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain
yang akan menjawab rasanya boleh.
Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh
dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan
sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.
Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT
berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang
yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa
mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit
dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan
benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari
azab neraka.’” (Surah ‘Ali-’Imran ayat
191).
Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah
boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.
Ummul Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan
bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir
kepada Allah) dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas
kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam lagi pernah dilaksanakan oleh
Rasulullah SAW.
Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa
Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu Rasulullah), pernah menari-nari melenggok
lentuk di hadapan Rasullullah SAW sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah SAW
menyebut kepada beliau, “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan
Allah menciptakan daku.”
Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni
itu, terus dita’birkan dengan menari-nari di hadapan Rasullullah SAW. Tingkah
laku beliau itu atau ‘body language’
beliau tidak ditegah atau ditegur oleh Rasulullah SAW.
Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul
sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang dilakukan oleh
ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya. Sahlah berlaku tarian di
majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah
al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.
Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini
tentang persoalan tari-menari dalam majlis zikir, lalu dijawab beliau dengan
mengiyakannya, yakni boleh dilakukan. Ditanya al-Allamah Burhanuddin al-Abnasi,
perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.
Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan
Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.” Semua
jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah ‘Ali-’Imran di
atas berserta hadis yang diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib r.a.
Adapun tarian yang dilarang adalah tarian
yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi ia diadakan
dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat,
diiringi dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat dan lain-lain.
Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal
tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan dilihat dengan jelas
kemaksiatan. Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir
daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan kelazatan munajat dan bertaladdud
(berseronok kerana zikrullah).
Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui
oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada mereka. Mereka
hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda
keseronokan, tetapi dibuat kerana Allah SWT.
Inilah yang disebut di dalam Al-Quran
(mafhumnya): “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka
dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati
manusia.” (Surah ar-Rad, ayat 28).
Ketenangan adalah suatu kenikmatan. Hendak
menghargai kenikmatan itu adalah sesuatu yang boleh dita’birkan dengan isyarat,
dengan kata-kata, dengan bahasa badan yang dijelmakan dalam bentuk tarian untuk
menyatakan kesyukuran dan kenikmatan yang mereka perolehi hasil anugerah Allah.
Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian
dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.
Untuk menyatakan haram atau tidak boleh
memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada dalil atau
hujah, berbaliklah kepada hukum fekah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus
sehingga ada dalil yang membuktikannya haram.”
Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat
al-Quran di atas, hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama muktabar, maka saya
menyatakan ia harus dan bukanlah haram.
Wallahu ‘alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan