Sekadar Gambar Hiasan |
Sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 mempunyai
keunikan tersendiri pada perbarisan yang diadakan turut disertai 12 ormak nyah
bagi mewakili Drug Intervention Community (DIC) Malaysia Pahang. Timbalan
Presiden DIC Pahang, Abd Rahim Abd Hamid berkata, penyertaan itu sebagai satu
usaha mengubah persepsi orang ramai kepada golongan tersebut sering dipandang
serong dan dihina.
Lebih malang katanya, ada yang menganggap
golongan ini tidak patut ada dalam masyarakat dan bertindak memukul mereka
sehingga cedera parah.
"Sudah sampai masa kita mengubah
persepsi terhadap golongan ini yang dianggap sampah masyarakat. Kita yang
dilahirkan normal perlu tampil membentuk mereka menjadi insan yang
sempurna," katanya.
Oleh itu kata Abd Rahim, pembabitan dalam
perbarisan sempena kemerdekaan itu nanti sebagai platform untuk golongan mak
nyah bergaul dengan masyarakat dan bukan berhubung antara mereka sahaja.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian
ketika majlis raptai penuh perbarisan sempena Hari Kebangsaan ke-56 di Padang
Majlis Perbandaran Kuantan 2, dekat sini, semalam. Katanya, dengan kerjasama
yang diberikan terbukti mereka masih boleh dibimbing.
“DIC yakin mereka masih lagi boleh
diselamatkan dan diajak untuk kembali ke pangkal jalan," katanya.
Dalam pada itu, katanya, sempena sambutan ini
dapatlah mereka mengenal erti kemerdekaan dan rata-rata kelihatan bersemangat
dan inginkan perubahan dalam kehidupan mereka.
“Sebelum ini mereka dikenali dengan orang
yang hanya keluar pada waktu malam dan berpelesiran di sana sini, tetapi
ternyata setelah menyertai aktiviti ini mereka ada perasaan cintakan tanah air,
ingin mendekati masyarakat dan hidup seperti orang lain," katanya.
Sementara itu, bagi Paula, 29, dia begitu
teruja dapat bercampur dengan masyarakat pada majlis raptai tersebut
memandangkan ada sebahagiannya boleh menerima secara terbuka kehadiran insan
sepertinya.
“Ini kali pertama saya diberi peluang dan
saya gembira kerana berjaya membuktikan golongan mak nyah bukanlah hanya
memiliki cerita negatif sahaja. Malah kami juga ada hati dan perasaan seperti
orang lain untuk hidup bermasyarakat menyambut hari bersejarah sekali gus
berpeluang menjadi contoh untuk diikuti golongan kami yang seangkatan tapi
masih belum sedar,” katanya.
Shima, 26, pula mengakui kini dia lebih yakin
setelah melihat sendiri bahawa tidak semua anggota masyarakat yang memandang
hina padanya.
“Sekiranya berpeluang, saya ingin terus
terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan dan membantu kerajaan menjalankan
program yang bermanfaat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan